Loading ...
Sorry, an error occurred while loading the content.

ANTARA TAJDID DAN BIADAB (Kupasan terperinci yang melibatkan Dr Asri)

Expand Messages
  • Suffian Abdul Majid
    Cut and paste from other blog. Debat TV antara Dr. Muhd Uthman El-Muhammady, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin and Dr. Fauzi Deraman. Oleh Abdul Muntaqim Zulkipli
    Message 1 of 1 , Dec 1, 2009
    • 0 Attachment
      Cut and paste from other blog.

      Debat TV antara Dr. Muhd Uthman El-Muhammady, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin and Dr. Fauzi Deraman.
      Oleh Abdul Muntaqim Zulkipli (mantan Timb. Presiden PKPIM)


      Malam tadi (19 November 2009), saya mengikuti sesi rakaman rancangan Al-Kuliyyah (TV3) di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Sesi kali ini agak menarik, dengan tajuk “1 Akidah” rancangan kali ini menampilkan Al-Fadhil Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Dr. Fauzi Deraman. Perbincangan yang bertajuk “1 Akidah” ternyata banyak berkisar sekitar persoalan tentang adab, tentang perbezaan pendapat. Itupun, tidak sepenuhnya perbincangan itu bersifat ilmiah. Apa yang pasti, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Dr. Fauzi Deraman mengecewakan. Sikap dan kata-kata mereka ternyata menggambarkan suatu kebiadaban; apa yang diistilahkan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady sebagai fenomena “kebiadaban intelektual”.



      Perbezaan pendapat adalah suatu lumrah yang tidak mungkin boleh dielakkan. Justeru, menurut Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, dalam ajaran Islam telahpun disiapkan panduan dan pedoman untuk menangani perbezaan pendapat tersebut. Sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala di dalam kitab suci Al-Qur’an, kita hendaklah mengikuti jalan orang-orang yang beriman (sabiilil-mu’ minin); yakni, kita hendaklah patuh kepada ijma’ ‘ulama – kesepakatan majoriti ‘ulama. Beliau menghuraikan, ini maksudnya kita hendaklah taat kepada ajaran Islam arus perdana. Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady memetik di dalam kitab Fathul Bari yang menyatakan bahawa imam-imam yang muktabar di dalam Ahli Sunnah wal Jamaah adalah perlu ditaati sama ada dari segi aqidah, syariat mahupun akhlak. Jika adapun perbezaan pendapat, maka hal itu haruslah ditangani secara cermat dan dengan penuh adab.

      Apa yang disampaikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady tersebut ternyata merupakan satu panduan yang penting kerana apa yang sedang berlaku di dalam negara ini pada hari ini adalah sikap segelintir “kaum muda” (Salafi, Wahabi, gerakan Tajdid, atau apa sahaja namanya) yang cuba melawan ‘arus perdana’. Amalan dan pegangan umat Islam di negara ini, yang merupakan amalan dan pegangan arus perdana yang telah disusun hasil kesepakatan para ‘ulama, cuba dicabar tanpa kita memahami apakah maksud sebenar di sebaliknya. Kelihatannya, hanyalah kerana mereka itu inginkan publisiti dan ingin menjadi jaguh yang dikenali di dalam masyarakat. Apakah ada keperluan amalan membaca doa qunut yang telah lama diamalkan oleh masyarakat negara ini dilawan? Apakah ada keperluan amalan membuat majlis tahlil arwah diharamkan? Apakah ada keperluan Selawat Syifa’ yang sangat masyhur di kalangan masyarakat negara ini dikatakan amalan yang salah? Itu semua adalah amalan yang datangnya melalui ajaran arus perdana di negara ini, yang semuanya ada dalil dan nas yang menyebabkan para ‘ulama mengajar amalan-amalan tersebut.


      Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (MAZA) kemudian menyebut tentang sikap majoriti para imam mazhab, yang menyuruh agar ditinggalkan pendapatnya apabila ada dalil yang sahih yang bercanggah dengan pendapatnya. Hal itu, menurutnya, menjadi bukti betapa para imam menghormati dalil dan nas. Dr. MAZA juga menyebut bahawa adalah penting untuk menghormati pandangan para ‘ulama muktabar; apa yang diistilahkan di dalam usul fiqh sebagai ijma’ ‘ulama. Dr. MAZA juga menyentuh tentang masalah fanatik mazhab. Sehinggakan, katanya, hanya kerana berbeza pandangan seseorang itu boleh dihukum sesat, biadap dan sebagainya.


      Hal ini telahpun disanggah dengan mudahnya oleh Al-Fadhil Ustaz Yusri Mohd. melalui soalan beliau kepada Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady. Kata-kata para imam mazhab bahawa “apabila bertemu dalil yang sahih hendaklah ditinggalkan pendapatku” adalah kata-kata khusus yang ditujukan kepada para ‘ulama jua, dan bukannya kepada orang awam seperti kita semua. Kata-kata tersebut ditujukan khusus kepada para ‘ulama yang berkapasiti untuk membuat ijtihad. Mana mungkin masyarakat awam, ataupun sesiapa sahaja yang mempelajari ilmu agama tetapi tidak sampai ke tahap mujtahid, untuk membuat ijtihad sendiri apabila bertemu sahaja hadith sahih (atau yang dikatakan sahih) di dalam kitab-kitab mahupun buku-buku. Apakah ada jaminan interpretasi mereka terhadap maksud hadith itu betul? Apakah mereka faham benar konteks kegunaan hadith tersebut? Harus diingat bahawa hadith itu datangnya dengan konteks yang tertentu. Kerana itu kita banyak bertemu hadith-hadith yang kelihatannya seperti bercanggah antara satu sama lain, tetapi sebenarnya tidak kerana konteksnya berbeza. Cukup menghairankan apabila Dr. MAZA menekankan tentang perlunya kita patuh kepada ijma’ ‘ulama, tetapi dia sendiri menentang aliran arus perdana (yang merupakan hasil ijma’ ‘ulama) di negara ini; seperti contoh, dia mempertikaikan dan memperlekeh majlis maulid, memperlekeh al-Fadhil Syeikh Jaafar al-Barzanji (bacaan Maulid Barzanji – disebut ‘berzanji’ oleh orang Melayu – telah lama diamalkan di negara ini), dan sebagainya yang mana semuanya adalah perkara-perkara yang dipersetujui oleh para ‘ulama. Jika adapun pandangan berbeza, maka itu adalah perbezaan pendapat yang tidak wajar dan tidak patut dijadikan polemik di dalam masyarakat! Hormatilah apa yang telah disusun oleh para ‘ulama terdahulu untuk kesejahteraan umat Islam di negara ini!

      Pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Dr. Fauzi Deraman kemudiannya menyatakan bahawa semua orang, termasuk para ‘ulama, adalah tertakluk kepada ayat Al-Qur’an yang menyatakan bahawa kita semua tidak dikurniakan pengetahuan melainkan sedikit. Justeru, Al-Qur’an juga mengajarkan kita agar “bertanyalah kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahui”. Menurutnya, setiap orang ada bidang kepakaran masing-masing dan bidang tersebut harus dihormati. Tentang fenomena masa kini di mana semakin ramai orang awam yang turut melibatkan diri dalam perbincangan terbuka tentang hal-hal agama yang sebenarnya bukan bidang mereka, Dr. Fauzi Deraman menyatakan bahawa orang awam tidaklah wajar disalahkan sepenuhnya kerana orang awam mengikuti ‘mentor’ mereka. Maka, apa yang penting adalah orang awam harus dididik dan diberikan panduan yang betul. Apa yang dikatakan oleh Dr. Fauzi Deraman ternyata benar. Namun, apa yang berlaku pada hari ini adalah orang sudah tidak menghormati autoriti. Dalam hal agama sebagai contoh, semakin ramai orang sudah tidak lagi menghormati autoriti kerana terpengaruh dengan sikap segelintir orang muda yang kononnya berilmu, mungkin kerana memilik Ph.D. lalu memakai gelaran ‘Doktor’ di hadapan namanya, yang dengan sewenang-wenangnya mempersoal dan mempertikaikan pendapat para ‘ulama sedangkan mereka bukanlah orang yang layak untuk melakukan hal yang sedemikian. Ada juga di kalangan para ilmuan sombong ini yang mengatakan diri mereka, ataupun mengatakan ‘ulama ikutan mereka, sebagai pakar hadith dan memakai gelar ‘Al-Muhaddith’ sedangkan antara syarat untuk seseorang itu digelar ‘Al-Muhaddith’ adalah ia haruslah menghafal 100,000 hadith! Itu belum termasuk syarat mempunyai dan menghafal sanad hadith. Sedangkan golongan ‘ulama sombong ini menolak amalan pemberian ijazah hadith; maka mana mungkin mereka menjadi pakar hadith!


      Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady memberikan satu peringatan yang ringkas tetapi penuh makna; bahawa setiap urusan itu haruslah diserahkan kepada ahlinya. Peringatan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala agar kita merujuk kepada ahlinya dan tidak memandai-mandai. Justeru, dalam soal memberikan pandangan, sepertimana yang dipraktikkan oleh para salafussoleh, hendaknya para ‘ulama itu berbincang di dalam wacana “para ‘ulama” untuk mendapatkan kesepakatan – dengan mengambil kira semua faktor – sebelum akhirnya keputusan itu disalurkan kepada orang ramai. Apa yang berlaku pada hari ini adalah kita terpengaruh dengan wacana ala pasca-modenisme, yang menganggap semua wacana adalah sama – atas nama ‘kebebasan bersuara’.

      Penekanan yang diberikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady ini, walaupun ringkas, tetapi adalah sangat fundamental. Apa yang disebutkan adalah tentang hal adab. Hal ini demikian kerana tidak semua orang mempunyai kelayakan untuk membincangkan semua perkara. Perkara-perkara yang berkaitan dengan pengajian ‘aqidah, berkaitan dengan fiqh dan akhlak, yang sudah tentu akan ditemukan banyak perbezaan pendapat tentangnya, adalah perkara-perkara yang tidak wajar, tidak patut dan tidak perlu untuk dibincangkan di dalam wacana terbuka di tengah-tengah masyarakat yang rata-ratanya tidak berkeahlian dalam hal ilmu Islam. Justeru, di situlah peranan para ‘ulama untuk menyusun dan menyepakati apakah kaedah, pendekatan, amalan, dan sebagainya yang patut diketengahkan kepada masyarakat. Itulah yang dilakukan oleh para imam mazhab dan para mujtahidin. Mereka meneliti dalil dan menyusun amalan-amalan dalam agama agar mudah diikuti oleh orang awam; agar tidak perlu lagi orang awam melalui proses penelitian dalil kerana tidak semua orang berkapasiti untuk memahami dengan benar dalil Al-Qur’an dan Al-Hadith, apatah lagi untuk mencapai tahap mujtahid! Tindakan membawa wacana yang berkaitan dengan penentuan asas-asas serta amalan-amalan dalam agama ke tengah kancah masyarakat, hanyalah akan menyebabkan berlaku kecelaruan kerana masyarakat akan mula keliru, dan lebih teruk lagi sudah mula muncul di tengah-tengah masyarakat golongan muda (khususnya) yang dengan beraninya berwacana menggunakan nama-nama ‘ulama seperti Imam Syafie, Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dan sebagainya, sedangkan mereka hanyalah ‘berguru’ dengan Internet ataupun dengan membaca sendiri buku-buku para ‘ulama tersebut. Jika adapun guru tempat merujuk, hanyalah seorang atau dua orang guru-guru yang tidak mempunyai susur galur ilmu yang mantap. Hal ini berlaku kerana melihatkan wacana-wacana yang semakin banyak dibincangkan secara terbuka, sehingga mereka merasakan bahawa sesiapa sahaja layak untuk membincangkan persoalan agama.


      Bagaimanapun, Dr. MAZA seolah-olah gagal memahami apa yang cuba disampaikan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady. Dia memetik hadith yang menyatakan bahawa Allah akan membangkitkan seorang ‘mujaddid’ (pembaharu urusan agama) pada setiap 100 tahun. Dia menyentuh tentang bagaimana urusan membaharui urusan agama ini telah dilakukan oleh semua mujaddid, biarpun ditentang hebat. Dia menyebut cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Imam Ahmad, Imam Syafie dan sebagainya dalam menyatakan kebenaran. Saya tertanya-tanya, apakah dia mahu menyamakan dirinya dengan Imam Ahmad dan Imam Syafie? Dia menyebut contoh-contoh itu sebagai menyatakan bahawa dirinya juga perlu melakukan ‘tajdid’ (membaharui urusan agama) biarpun sukar diterima. Namun, sekali lagi, perlu diperhatikan siapakah Imam Ahmad dan siapakah Imam Syafie? Mereka adalah ornag yang diberikan pembukaan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala, sehingga mempunyai keluasan ilmu yang hebat. Sekiranya salah seorang daripada mereka masih hidup pada hari ini, maka tidaklah keterlaluan jika dikatakan adalah wajib bagi seluruh umat Islam di dunia ini mematuhinya sebagai rujukan utama masa kini! Siapalah Dr. MAZA jika hendak dibandingkan dengan Imam Syafie, Imam Ahmad? Juga, harus diperhatikan apakah yang diperjuangkan oleh imam-imam besar itu sama seperti apa yang diperjuangkan oleh Dr. MAZA? Imam Syafie dan Imam Ahmad berjuang untuk membetulkan ‘aqidah umat Islam (diulangi: ‘aqidah), kerana tanpa ‘aqidah yang betul boleh jatuh kufur seseorang itu. Sedangkan di negara ini kita sudah mempunyai suatu susunan amalan dan pegangan yang betul, tidak perlu lagi dipertikaikan!


      Dr. MAZA kemudiannya menyatakan, sebagai membantah pandangan Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, bahawa sekiranya dia perlu berbincang dahulu sebelum menyampaikan pandangannya, maka tidak akan berlakulah “sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat”. Saya dan rakan-rakan di pentas penonton hanya mampu menepuk dahi dek kerana lemahnya hujah yang digunakan oleh dia. Hadith tersebut bukan untuk hal tajdid! Jika hadith tersebut adalah berkaitan dengan hal tajdid, maka mudah sangatlah proses tajdid itu dan tidak perlulah dibangkitkan seorang mujaddid kerana sesiapa sahaja boleh melakukannya! Juga, apa yang dimaksudkan oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady agar diadakan perbincangan di peringkat para ‘ulama terlebih dahulu bukanlah maksudnya agar jangan dilakukan dakwah! Maksud beliau adalah supaya perkara-perkara khilaf, perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar, dengan pendekatan dan sebagainya, dibincangkan secara ilmiah terlebih dahulu di kalangan para ‘ulama, agar para ‘ulama yang berkeahlian itu dapat memutuskan apakah dia yang paling sesuai untuk disalurkan kepada masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat tidak berkeahlian untuk menentukan bagi diri mereka sendiri apakah yang patut atau tidak, apa yang benar atau tidak. Nah, bukankah di dalam wacana para ‘ulama itu masih ada peluang untuk ‘menyampaikan daripada Rasulullah walaupun sepotong ayat’. Keluarkanlah apa sahaja dalil dan nas yang diketahui di dalam wacana para ‘ulama kerana memang sifat wacana itu ilmiah. Mengapa harus dibawa kepada masyarakat? Adakah kerana ingin dikenali, ingin dilihat sebagai jaguh? Jika benar ingin manfaat dan faedah bagi masyarakat, bukankah pandangan dan usaha ijma’ ‘ulama itu lebih kukuh dan lebih baik daripada usaha beberapa kerat individu? Logik ini terlalu mudah, hanya mereka yang tertutup minda dan hatinya sahaja yang akan gagal memahaminya.


      Dr. Fauzi Deraman pula menyatakan bahawa perselisihan (dalam hal dasar agama) tidak berlaku di zaman Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, kerana ada kaitannya dengan metodologi pada zaman itu. Saya mungkin boleh bersetuju dengan kenyataan itu kerana memang ada kebenarannya. Namun, sebab utama mengapa tidak berlakunya perselisihan pada zaman tersebut adalah semata-mata kerana baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam! Baginda adalah ikutan ulung para sahabat, baginda adalah contoh, baginda adalah rujukan utama! Para sahabat patuh dan taat kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam tanpa soal: ini dinamakan taqlid! Benar, dalam Islam ada kebenaran untuk taqlid, bagi orang yang tidak mampu berijtihad seperti kita semua! Jika ada yang ingin menyanggah dengan mengatakan bahawa bertaqlid dengan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sahaja yang boleh, maka ketahuilah bahawa Rasulullah telah mengiktiraf generasi salafussoleh, para Khulafa’ Ar-Rasyidiin dan Ahlul Bait sebagai kelompok yang harus kita ikuti dan contohi.


      Namun, saya ternyata tidak bersetuju dengan kenyataan Dr. Fauzi Deraman yang menyatakan bahawa para sahabat tidaklah belajar banyak sangat tentang ‘aqidah. Kenyataan itu ternyata adalah suatu kenyataan yang sangat biadap! Para sahabat adalah mereka yang paling ‘arif tentang ‘aqidah! Kenyataan dia seolah-olah menggambarkan bahawa umat Islam yang terkemudian lebih maju dalam hal pengajian ‘aqidah! Memang benar bahawa para sahabat tidaklah mempunyai sistem pengajian yang canggih (baca: berkecamuk) sepertimana apa yang kita ada pada hari ini. Tetapi harus difahami bahawa para sahabat adalah mereka yang paling mantap ‘aqidah mereka, dan menjadi rujukan kita semua sehingga ke hari ini! Para sahabat adalah contoh kita dalam hal ‘aqidah. Bukankah dalam pembelajaran ‘aqidah pada hari ini pun kita memetik contoh-contoh daripada kisah sahabat? Penyusunan sistem bagi kita mempelajari dan memahami ‘aqidah yang benar seperti yang dilakukan oleh Al-Imam Abu Hassan Al-Asy’ari adalah juga bersumberkan kepada para sahabat, yang sudah tentunya datangnya pula daripada Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Jika dikatakan para sahabat tidak banyak belajar ‘aqidah, adalah tidak benar sama sekali kerana para sahabat berada bersama Rasulullah, dan mereka mempelajari keseluruhan isi kandungan kitab suci Al-Qur’an secara langsung daripada baginda Rasulullah! Mereka mempelajari ‘aqidah daripada dua sumber utamanya: Al-Qur’an dan Rasulullah! Mana mungkin mereka tidak banyak belajar ‘aqidah!


      Justeru itulah Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady mengingatkan semua tentang niat. Menurut beliau, niat itu adalah penting kerana setiap amalan itu nilaiannya bergantung kepada niat. Niat yang tidak betul akan merosakkan amalan; sepertimana solat menjadi rosak, sedekah menjadi sia-sia jika niatnya adalah untuk membangga dan menonjolkan diri. Hal ini, menurut Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, adalah sesuatu perkara yang sangat asas dan sangat penting tetapi ramai orang terlupa, termasuk sesetengah orang yang berilmu. Dalam melakukan pembaikan, teguran dan sebagainya kita haruslah ikhlas kerana mencari redha Allah Subhanahu wa ta’ala. Justeru, apa yang penting adalah kita menghormati orang lain, kita menghormati ‘ulil amri’. Jika ingin melakukan teguran, hendaklah dilakukan dengan cara baik dan cara berhikmah, bukannya dengan cara terus memaparkan kritikan itu di dada akhbar sehingga boleh mengakibatkan malu dan keresahan. Inilah adab namanya! Hal ini demikian kerana, jika benar kita ikhlas ingin menegur dan membuat pembaharuan maka sudah tentu boleh sahaja teguran itu disalurkan terus kepada pihak berwajib – kepada para pemerintah, kepada para ‘ulama – tanpa perlu melalui media massa. Kerana yang diinginkan adalah menyampaikan teguran dengan cara baik, bukan mencari populariti!


      Mungkin disebabkan terasa dengan teguran ‘pedas’ Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Dr. MAZA naik suara sedikit. Dia menyatakan bahawa adalah tidak patut jika seseorang itu berbeza pendapat dengan orang lain, maka orang lain itu terus dituduh sebagai sesat, Wahabi dan sebagainya. Saya bersetuju dengan pandangan Dr. MAZA. Namun, ternyata di situ tersisip suatu keangkuhan dan cubaan untuk memutarbelitkan apa yang sebenarnya berlaku di negara ini. Harus difahami bahawa pertuduhan “sesat”, “Wahabi” dan sebagainya yang dilontarkan kepada individu-individu tertentu bukanlah dibuat secara semberono! Ya, mungkin sahaja ada di kalangan masyarakat awam di negara ini yang agak ‘emosional’ dan dengan mudahnya melabel orang dengan label yang pelbagai. Namun, di peringkat para ‘ulama dan intelektual, menghukum seseorang itu sebagai “sesat”, atau sebagai berfahaman “Wahabi” adalah sesuatu yang dibuat secara ilmiah. Apabila telah jelas dan telah zahir seseorang itu sesat, apakah mungkin kita mendiamkan diri dan tidak menyatakannya? Apakah hanya kerana semata-mata ingin meraikan ‘perbezaan pandangan’, maka kita tidak boleh menyatakan kesesatan seseorang itu apabila telah zahir kesesatannya? Jika begitu, tarikh balik sahaja pertuduhan kita terhadap Haji Kahar (Rasul Melayu). Fahaman dan aliran pemikiran yang “sesat” dan “Wahabi” itu telah lama dijelaskan dan dihadirkan dalil-dalil serta bukti bagi menyokong pertuduhan tersebut; hanya sahaja, mungkin segelintir pihak tidak mahu menerima hujah dan dalil-dalil yang dikemukakan.


      Dr. Fauzi Deraman kemudiannya menekankan bahawa daripada segi sumber, tidak ada perselisihan kerana kita semua mengakui bahawa kita hanya ada dua sumber (dalam hal ‘aqidah, syariat mahupun akhlak) yakni Allah dan Rasul. Dr. Fauzi menyatakan bahawa kita tidak ada sumber-sumber yang lain selain daripada Allah dan Rasul. Hal tersebut sememangnya benar, bahawa tidak ada sumber yang lebih utama dalam agama selain daripada Allah dan Rasul. Namun, mungkin perlu dijelaskan lagi bahawa di dalam usul fiqh, melalui peruntukan di dalam nas-nas Al-Qur’an dan Al-Hadith, Ijma’ ‘Ulama juga diterima sebagai sumber – selepas Al-Qur’an dan Al-Hadith. Kegagalan mengiktiraf ijma’ ‘ulama sebagai sumber akan menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam lembah kebiadaban ilmu. Memang benar sumber utama dalam Islam hanya dua, yakni Al-Qur’an dan Al-Hadith. Tetapi, siapakah yang akan menyampaikan kita kepada kefahaman yang benar tentang keduanya? Oleh sebab itulah, setelah Rasulullah berpesan para peringkat awalnya agar umat baginda berpegang kepada Al-Qur’an dan Al-Hadith, maka Rasulullah berpesan pula kepada kita menjelang penghujung kehidupan baginda di dunia ini supaya kita berpegang kepada sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidiin dan sunnah Ahlul Bait. Hal ini demikian kerana mereka adalah kelompok yang paling ‘arif tentang Al-Qur’an dan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Oleh sebab itulah, setelah berlalunya zaman Rasulullah, para sahabat merujuk kepada orang yang paling hampir dengan Rasulullah dalam usaha untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Para tabi’in merujuk kepada para sahabat dalam usaha untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Para tabi’ tabi’in pula merujuk kepada para tabi’in dalam usaha yang sama. Dan begitulah seterusnya berlaku, sehingga kita pada hari ini merujuk kepada para ‘ulama, guru-guru kita, masyayikh kita yang mursyid dan murabbi, dalam usaha kita untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah. Inilah dikatakan adab! Bukannya dengan cara menolak pandangan para ‘ulama tradisi dan kemudian menelaah sendiri Al-Qur’an dan Al-Hadith – kerana siapa kita untuk memahami Al-Qur’an dan Al-Hadith? Kita hidup dalam zaman yang penuh dengan dosa dan maksiat, mana mungkin Allah mengurniakan kepada kita ‘ilmu dan kefahaman yang sama sepertimana yang dikurniakan kepada generasi terdahulu – kerana kita tidak layak!


      Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady kemudiannya merumuskan perbincangan pada sesi rakaman Al-Kuliyyah itu dengan menasihatkan semua agar kembali kepada kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah – aliran arus perdana yang dijamin kebenarannya oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Baginda Rasulullah telah menjamin untuk kita bahawa kerangka kebenaran (al-Haq) itu akan sentiasa ada di dalam agama ini, justeru itulah dia aliran arus perdana yang dibawa dan didokong oleh para ‘ulama secara berantaian daripada dahulu sehingga kini. Oleh sebab itulah di sisi pada ‘ulama, salah satu tradisi penting yang perlu dikekalkan bagi memastikan keberkatan dan kesahihan ilmu adalah tradisi pengajian secara bersanad. Kita haruslah mempunyai rantaian ilmu dengan guru kita, guru kepada guru kita, guru kepada guru kepada guru kita, dan begitulah seterusnya sehingga sampai kepada Al-Mu’allim Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam.


      Selesai sahaja sesi rakaman itu sesi soal jawab dibuka kepada penonton yang hadir. Ada beberapa soalan dilontarkan kepada ketiga-tiga panel. Pada sesi ini semakin terzahir kebiadaban beberapa orang ahli panel dan para penonton yang menyokong mereka. Dalam usaha untuk menjustifikasikan betapa perlunya usaha ‘tajdid’ yang sedang dia lakukan, dalam erti kata memecahkan pegangan kepada mazhab syafi’e dan menjadi ‘lebih terbuka’, Dr. MAZA mengambil beberapa contoh kelemahan pandangan di dalam mazhab syafi’e sambil menyatakan bagaimana sikap Imam Syafi’e sendiri serta sikap ‘ulama terdahulu yang begitu terbuka. Dr. MAZA memperli sikap ‘golongan agamawan’ serta ‘pihak berkuasa agama’, khususnya kerana sikap tertutup mereka dan kerana tindakan yang dikenakan ke atasnya oleh JAIS. Bukankah seharusnya sudah jelas, begitu ramai orang yang menentangnya bukanlah kerana dengki dan bukanlah kerana semata-mata tidak suka kepada perbezaan pandangan; tetapi, kerana aliran pemikiran yang dibawa oleh Dr. MAZA adalah berbahaya kepada kesejahteraan umat Islam di negara ini. Sikap Dr. MAZA yang memperlekeh ‘golongan agama’, mencabar ‘autoriti agama’ secara terbuka begitu, sambil disambut dengan tepukan tangan oleh sebilangan penonton, ternyata menampakkan keangkuhan dan ketiadaan adab. Apatah lagi apabila disambung pula oleh Dr. Fauzi Deraman yang mengikut rentak Dr. MAZA. Dr. Fauzi memperlekeh- lekeh pandangan dalam mazhab syafi’e (dalam kes ini berkaitan haji) yang katanya menyusahkan, sambil disambut dengan senyum dan gelak ketawa Dr. MAZA dan sebilangan para penonton. Kami hanya mampu terdiam melihat.


      Namun, ternyata jika Allah ingin menzahirkan kebenaran maka tidak ada apa yang akan dapat menghalangnya. Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady menutup dengan suatu teguran yang langsung kepada para panelis dan penonton. Bergenang air mata tatkala Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady menyatakan kesayuan beliau melihat orang ramai bergelak-ketawa tatkala kisah para ‘ulama diceritakan dan pandangan mereka dilekeh-lekehkan. Begitu sayu beliau melihat orang ramai – termasuk para panelis – menganggap lekeh apa yang dibincangkan, sehingga boleh dijadikan bahan gelak ketawa. Ke mana perginya adab? Sungguh, persoalan adab ini adalah persoalan yang sangat penting. Ramai oleh boleh bercakap tentang adab, tetapi tidak semua orang benar-benar boleh menjadi orang yang beradab. Sekadar mengulangi pesanan Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, bahawa ikutilah dan taatlah kepada aliran arus perdana Ahli Sunnah wal Jamaah. Taatlah kepada imam-imam Ahli Sunnah wal Jamaah. Bersikaplah dengan sikap yang betul; bercakaplah dengan bahasa dan ayat yang betul. Di dalam Al-Qur’an, Allah Subhanahu wa ta’ala menyatakan bahawa sesiapa yang tidak beradab dengan Rasulullah – cukup sekadar meninggikan suara lebih tinggi daripada suara Rasulullah – maka akan terhapus segala pahala amalannya. Nah, para ‘ulama itu pewaris Rasulullah, mengapakah kita enggan beradab dengan mereka? Memang benar mereka bukan maksum, bukan sempurna, tetapi sedarlah bahawa kita semua jauh lagi tidak sempurna daripada mereka!


      Semoga Allah mengurniakan Rahmat kepada seluruh para pejuang Ahli Sunnah wal Jamaah; dan semoga Allah membuka pintu hati golongan berilmu yang sombong, serta para pengikut aliran pemikiran mereka.

      Mohon maaf atas salah dan silap. Sekadar luahan rasa hasil ilham daripada Allah dan berkat sentuhan guru kita Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Saya hanyalah seorang insan yang sangat hina yang sedang berusaha menggapai cinta-Nya, dan cinta Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam.


      Wallahu’alam.


      Get your preferred Email name!
      Now you can @... and @....
    Your message has been successfully submitted and would be delivered to recipients shortly.