Loading ...
Sorry, an error occurred while loading the content.
 

PAS hadapi cabaran baru (Bhg 2)

Expand Messages
  • Abu Jihad
    PAS hadapi cabaran baru (Bhg 2) BUMI DIPIJAK Lee Ban Chen 10:44am, Wed: Tindakan DAP meninggalkan Barisan Alternatif (BA) menonjolkan ketegasan PAS untuk
    Message 1 of 1 , Oct 27, 2001
      PAS hadapi cabaran baru (Bhg 2)
      BUMI DIPIJAK
      Lee Ban Chen

      10:44am, Wed: Tindakan DAP meninggalkan Barisan Alternatif (BA) menonjolkan
      ketegasan PAS untuk memperjuangan pelaksanaan konsep negara Islam, dan
      sekaligus memberi tekanan baru terhadap Umno yang dianggap �kurang Islam�
      berbanding dengan PAS.

      Demi menjaga imej keislaman Umno, Dr Mahathir Mohamad terpaksa secara rasmi
      mengumumkan Malaysia merupakan sebuah negara Islam. Pengumuman ini memang
      boleh dipertikaikan secara akademik atau dicabar dari segi perundangan.

      Tetapi dari segi politik, rasanya Mahathir telah memenangi pusingan pertama
      dalam persaingannya dengan PAS mengenai isu negara Islam. Negara Islam acuan
      PAS yang masih samar-samar, telah ditentang habis-habisan oleh DAP, sehingga
      ia bertindak keluar daripada BA.

      Tetapi aneh sekali, negara Islam acuan Mahathir sebaliknya disokong oleh
      parti-parti komponen BN, termasuk MCA dan Gerakan, sungguhpun tiada sebarang
      perbincangan diadakan sebelum pengumumannya itu dibuat.

      Persepsi berlainan

      Orang ramai pula mempunyai persepsi yang agak berlainan tentang negara Islam
      acuan PAS dan negara Islam acuan Umno.

      Ramai menganggap jika PAS berkuasa, pemimpin bukan Islam tidak layak
      berkongsi kuasa dalam kerajaan, kedudukan wanita tidak setaraf lelaki, hukum
      hudud yang memotong tangan dan kaki akan dilaksanakan, dan cara hidup bukan
      Islam akan diganggu akibat larangan meminum arak, berjudi, berhibur di kelab
      malam dan sebagainya.

      Walhal, negara Islam acuan Mahathir yang diisytiharkan setelah proses
      Islamisasi dijalankan secara senyap-senyap dan beransur-ansur itu,
      seolah-olah tidak membawa sebarang perubahan: Perlembagaan Persekutuan tidak
      perlu dipinda, pemimpin bukan Islam masih dibenarkan berkongsi kuasa dalam
      kerajaan, kedudukan wanita seperti biasa, hukum hudud tidak dilaksanakan,
      cara hidup rakyat bukan Islam juga seperti biasa.

      Namun, tidak bermakna menerima Malaysia sebagai sebuah negara Islam tidak
      mempunyai implikasi terhadap rakyat bukan-Islam negara ini pada masa yang
      akan datang.

      Sekurang-kurangnya, di segi teori, ia memberi lampu hijau kepada kemungkinan
      hegemoni agama untuk mendominasi kuasa politik dan cara hidup rakyat negara
      ini. Lantaran itu, asas kesetaraan kedudukan dan hak-hak asasi manusia bagi
      semua kaum tanpa mengira latar belakang jantina, agama, budaya dan bangsa,
      boleh terhakis dari semasa ke semasa.

      Perkembangan ini juga merupakan satu pukulan baru kepada sistem demokrasi
      negara kita, kerana sifat sekular negara kita yang dijamin oleh Perlembagaan
      Persekutuan, telah dinafikan oleh pengumuman seorang Perdana Menteri, tanpa
      mendapat persetujuan parti-parti komponen BN terlebih dahulu, dan tanpa
      melalui proses pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan dua
      pertiga ahli parlimen dalam persidangan Dewan Rakyat.

      Dan lucu sekali, MCA, jaguh menentang negara Islam sebelum ini, juga
      menerima negara kita sebagai sebuah negara Islam, dengan alasan kononnya ia
      adalah 'Negara Islam Sekular'!

      Bagaimanapun, pengumuman Malaysia sebagai sebuah negara Islam telah memberi
      legitimasi kepada PAS untuk mempromosi negara Islam acuannya dan baru-baru
      ini, presiden PAS Fadzil Noor mengumumkan bahawa penjelasan konsep itu akan
      disampaikan dalam memorandum kepada perdana menteri.

      Jika masyarakat bukan Islam sanggup menerima konsep dan kandungan negara
      Islam acuan Mahathir, mereka tidak boleh menolak mentah-mentah, konsep
      negara Islam acuan PAS tanpa mengambil tahu apakah kandungan dan
      implikasinya terhadap rakyat kita amnya dan bukan Islam khasnya.

      Agenda politik

      Dengan lain perkataan, negara Islam sudah menjadi agenda politik negara
      kita. Mahu tidak mahu, semua pihak terpaksa menghadapinya. Ekoran pengumuman
      Mahathir itu, pemerhati politik sedang mengamati arah perkembangan hubungan
      PAS-Umno.

      Apakah hubungan itu akan menjadi lebih tegang kerana PAS akan melancarkan
      kempen baru untuk menafikan kelayakan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

      Atau kedua parti itu akan mula berdialog untuk merapatkan perselisehan
      pendirian mengenai isu negara Islam yang sangat penting untuk perpaduan umat
      Islam itu?

      Imej PAS yang kurang sederhana itu diperkuatkan lagi melalui pendiriannya
      terhadap serangan 11 September dan seruan parti itu untuk berjihad setelah
      Amerika Syarikat dan Britain melakukan serangan balas terhadap Afghanistan.

      Tidak dapat dinafikan PAS mengutuk mereka yang terlibat dalam serangan 11
      September, tetapi parti itu juga menunjukkan simpati mereka dengan
      menitikberatkan kesalahan-kesalahan dasar luar AS sebagai puncanya..

      Namun kesalahan dasar luar AS itu tidak boleh dijadikan alasan untuk
      menjustifikasikan serangan maut yang meragut kira-kira 6,000 nyawa orang
      awam AS dan negara-negara lain yang tidak berdosa.

      Pendirian menentang sebarang pengganasan dalam erti kata yang sebenar itu
      harus tegas dan konsisten. Menentang serangan balas AS dan Britain terhadap
      Afghanistan juga akan menyebabkan orang awam turut terkorban.

      Oleh itu, menyeru umat Muslim negara ini berjihad rasanya kurang wajar
      kerana ia melibatkan agama Islam secara menyeluruh dan akan menyulitkan lagi
      keadaan yang sudah cukup rumit .

      Seruan berjihad oleh PAS boleh disalahfahamkan sebagai menyahut seruan Osama
      bin Laden serta kumpulan Al-Qaedah pimpinannya. Ini kerana apabila kerajaan
      Taliban berjihad menentang serangan balas AS dan Britain, ia dianggap
      menyokong Osama. Menurut laporan media, anggapan seperti ini turut dinafikan
      oleh pemimpim PAS sendiri.

      Sekiranya bagi PAS, berjihad kali ini hanya merupakan solat hajat,
      demonstrasi, penghantaran surat bantahan, membakar bendera AS, tetapi bukan
      menghantar pasukan sukarela untuk berperang di Afghanistan, jadi mengapa
      perlu menggunakan istilah 'berjihad' yang sering disalahtafsirkan oleh Barat
      dan bukan Islam sebagai melakukan perang agama?

      PAS mengutuk Presiden George W Bush kerana menggunakan istilah �crusade�,
      tetapi pada masa yang sama, ia sendiri pula menggunakan istilah �jihad�. Di
      mana rasionalnya?

      Memandangkan perkembangan terbaru tersebut, imej PAS tentu menghadapi
      cabaran yang besar, dan kali ini tidak boleh disalahkan BN atau media arus
      perdana sebulat-bulatnya, kerana pendirian dan strategi parti itu sendiri
      juga boleh dipertikaikan.




      _________________________________________________________________
      Get your FREE download of MSN Explorer at http://explorer.msn.com/intl.asp
    Your message has been successfully submitted and would be delivered to recipients shortly.