Loading ...
Sorry, an error occurred while loading the content.
 

ILMU FALAK II: PENENTUAN WAKTU SOLAT

Expand Messages
  • Azam Noor
    BENGKEL KEAJAIBAN ALAM SEMESTA CERAMAH FALAK DI MAKTAB PERGURUAN TUANKU BAINUN (MPTB), BUKIT MERTAJAM, SEBERANG PERAI, PULAU PINANG PADA 21 JUN 2003
    Message 1 of 1 , Jul 11, 2003

      BENGKEL KEAJAIBAN ALAM SEMESTA

      CERAMAH FALAK DI MAKTAB PERGURUAN TUANKU BAINUN (MPTB),

      BUKIT MERTAJAM, SEBERANG PERAI, PULAU PINANG PADA 21 JUN 2003

      PENCERAMAH: AZAM NOOR, PESERTA: 170 ORANG

      ANJURAN: MPTB (JABATAN SAINS & MATEMATIK DAN JABATAN PENDIDIKAN AGAMA DAN MORAL)

       

      2.0 PENENTUAN WAKTU SOLAT

       

      2.1 Pengertian Solat

       

      Dari segi hukum, Solat merupakan satu perlaksanaan yang telah diwajibkan kepada kita menurut waktu-waktu yang telah ditentukan berdasarkan keterangan surah An Nisak ayat 103 yang bermakud: “Maka apabila kamu telah tenang tenteram, dirikanlah solat kerana sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang beriman yang tertentu waktunya.”

       

                  Solat merupakan ibadah wajib ke atas setiap orang Islam yang telah difardhukan semenjak Nabi Muhammad SAW israk dan mikraj pada malam 27 Rejab 3 Sebelum Hijrah bersamaan 18 Mac 619 Masehi, hari Ahad. Sesungguhnya terdirinya agama Islam adalah hasil terlaksananya ibadah solat sepertimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu: “Solat itu tiang agama. Barangsiapa mendirikan solat, sesungguhnya ia telah mendirikan agama dan barangsiapa meruntuhkan solat, sesungguhnya ia telah meruntuhkan agama.”

       

                  Perlaksanaan solat memerlukan pengetahuan masuknya waktu solat yang berhubungkait dengan terbit dan terbenam matahari. Ini bererti, ibadah solat sangat rapat sekali perkaitannya dengan pengetahuan kedudukan matahari. Oleh itu bidang ilmu falak adalah satu bidang yang amat penting sekali bagi umat Islam walaupun ia dikategorikan sebagai ilmu fardhu kifayah.

       

                  Kitab suci Al Quran sering kali memperingatkan umat Islam berkenaan waktu-waktu solat yang lima iaitu:

       

      Surah Hud ayat 114: “Dan dirikanlah solat pada dua tepi siang dan pada permulaan malam.”

       

      Surah Al Israk ayat 78: “Dirikanlah olehmu solat ketika gelincir matahari hingga sampai gelap malam dan dirikanlah pula solat subuh.”

       

      Surah An Nur ayat 58: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu meminta izin kepada kamu (sebelum masuk tempat kamu) dalam tiga masa; sebelum sembahyang subuh dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengahari dan sesudah solat Isyak; itulah tiga masa bagi kamu.”

       

      Surah Taha ayat 130: “Dan ucapkanlah tasbih memuji Tuhan sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya dan bertasbihlah pada sebahagian malam dan pada sebelah-sebelah siang, mudah-mudahan engkau redha.”

       

                  Dari ayat-ayat Al Quran tadi tidak menyatakan dengan khusus bilakah masuknya waktu-waktu sembahyang yang lima melainkan ketetapan lima waktu iaiatu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Dalam surah Hud tadi, dua tepi siang boleh dimaksudkan dengan waktu Asar dan waktu Subuh manakala permulaan malam adalah waktu Maghrib. Surah Al Israk dan Taha memberikan petunjuk kepada waktu Zohor sedangkan surah An Nur pula mengertikan sebahagian malam sebagai waktu Isyak.

       

                  Untuk lebih jelas lagi bagaimana kelima-lima waktu tadi ditakrifkan dengan tepat adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, An Nasai dan At Tarmizi dari Jabir ibnu Abdullah Radhiallahu ‘Anhu iaitu:

      “Telah datang kepada Nabi SAW Jibril AS lalu berkata kepadanya: Bangun dan bersolatlah. Maka Nabi pun bersolatlah. Maka Nabi bersolat Zohor diketika telah gelincir matahari. Kemudian datang lagi kepadanya di waktu Asar lalu berkata: Bangun dan bersolatlah. Kemudian Nabi solat Asar di kala bayang-bayang sesuatu sama dengannya. Kemudian ia datang lagi di waktu Maghrib lalu berkata: Bangun dan bersolatlah. Kemudian Nabi bersolat Maghrib di kala matahari terbenam. Kemudian ia datang lagi di waktu Isyak lalu berkata: Bangun dan bersolat. Kemudian Nabi solat Isyak di kala mega merah telah terbenam. Kemudian ia datang lagi di waktu Subuh di ketika telah cemerlang fajar.

      Kemudian ia datang pula keesokan harinya pada waktu Zohor. Jibril berkata: Bangun dan solatlah. Kemudian Nabi bersolatlah Zohor ketika bayang-bayang sesuatu sama dengannya. Kemudian datang lagi di waktu Asar lalu berkata: Bangun dan bersolatlah. Kemudian Nabi bersolat Asar di kala sesuatu dua kali sesuatu itu. Kemudian ia datang lagi di waktu Maghrib dalam waktu yang sama macam kelmarin juga. Kemudian ia datang lagi di waktu Isyak di kala telah berlalu separuh malam, maka Nabi bersolat Isyak. Kemudian Jibril datang lagi di kala telah bercahaya benar lalu berkata: Bangun dan solatlah. Maka Nabi pun bersolatlah Subuh. Sesudah itu Jibril berkata; di antara waktu-waktu ini, itulah waktu solat.”

       

                  Berdasarkan hadis di atas telah dibuat kesimpulan bahawa pada hari pertama Jibril datang kepada Nabi SAW adalah penentuan awal waktu solat manakala pada hari kedua adalah untuk penentuan akhir atau habisnya waktu solat. Jadi, menurut hukum dan juga dari segi kajian ilmu falak (astronomi) dapatlah ditakrifkan semua kenyataan-kenyataan di bawah iaitu:

       

      1). Waktu Zohor

       

      Hukum: Awal waktunya setelah tergelincir matahari dari pertengahan langit. Akhir waktunya adalah apabila bayang-bayang sesuatu telah sama dengan panjangnya selain dari bayang ketika matahari berdiri tegak di atas kepala.

       

      Ilmu Falak: Awal waktu Zohor dtentukan dari waktu tengahari ketara yang dipanggil waktu zawal (transit atau zenith: rembang) di mana matahari berada paling maksimum di atas kepala iaitu 90 darjah. Tergelincir matahari adalah kedudukan minimum matahari melepasi titik meridian zawal tadi sebanyak 1 minit 4 saat atau 0.017778 jam. 1 minit 4 saat ini dihitung berdasarkan ukuran diameter matahari dalam sudut sebanyak 32 minit. Jejari matahari sebanyak 16 minit telah digunakan untuk menganggap gelincirnya matahari iaitu: bagi satu bulatan 360 darjah sehari semalam adalah bersamaan dengan puingan bumi 24 jam. Satu darjah (60 minit) bersamaan dengan 4 minit pusingan bumi. Maka 16 minit adalah bersamaan dengan 64 saat atau 1 minit 4 saat bagi rotasi bumi.

       

      2). Waktu Asar

       

      Hukum: Dimulai dari habisnya waktu Zohor, bayang-bayang sesuatu lebih daripada panjangnya selain ketika matahari tegak di atas kepala sehingga sampai terbenam matahari.

       

      Ilmu Falak: Awal waktu Asar adalah ketika bayang objek lebih sedikit dari panjang objek. Dalam perkiraan adalah menentukan berapa besar sudut matahari waktu Asar. Ini bergantung kepada kedudukan lokasi sesuatu tempat dan kedudukan deklinasi matahari pada hari perkiraan itu dibuat.

      Mazhab Syafie: Tan Z = Tan (f + do) + 1

      Mazhab Hanafi: Tan Z = Tan (f + do) + 2

       

       

      3). Waktu Maghrib

       

      Hukum: Waktunya dari terbenam matahari sehingga sampai hilang syafaq atau mega merah (disebut twillight). Syafaq ialah pancaran cahaya matahari di ufuk langit/laut ketika matahari terbenam. Ada dua pancaran cahaya ini iaitu pertama sekali ia berwarna merah, apabila ia menghilang muncul pula cahaya putih yang menandakan hampir masuknya waktu Isyak.

       

      Ilmu Falak: Ia berlaku ketika seluruh piringan atau cakera (disc) matahari terbenam di bawah ufuk langit/laut. Diketahui bahawa disc matahari bersaiz 32 minit sedangkan rujukan selalunya dibuat pada bahagian jejarinya iaitu 16 minit. Maka apabila matahari terbenam, sudut disc itu berada sebanyak 90 darjah 16 minit dari titik zawal tengahari. Setelah pembiasan atmosfera (refraction) sebanyak 34 minit diambilkira, didapati sudut ini menjadi 90 darjah 50 minit yang dianggap sebagai piawai untuk matahari benar-benar terbenam di bawah ufuk langit/laut.

       

      4). Waktu Isyak

       

      Hukum: Waktunya dimulai dari terbenam mega merah atau munculnya cahaya putih sebelum langit benar-benar gelap pekat. Habis waktu Isyak adalah ketika terbit fajar kedua iaitu fajar sidik yang bertebaran di ufuk langit timur.

       

      Ilmu Falak: Penentuan awal waktu Isyak adalah bermula dari hilangnya mega merah atau munculnya cahaya putih buat seketika sebelum langit benar-benar gelap hingga cahaya bintang begitu jelas kelihatan. Kedudukan matahari pada ketika ini telah diperhitungkan berada sebanyak 108 darjah dari titik zawal matahari tengahari.

       

      5). Waktu Subuh

       

      Hukum: Waktunya dimulai dari terbit fajar kedua (fajar sidik) setelah fajar pertama (fajar kabih: fajar samar-samar) sehinggalah terbitnya matahari yang menandakan waktu syuruq.

      Ilmu Falak: Penentuan awal waktu Subuh bermula dari terbit fajar kedua yang dikira dari kedudukan matahari di bawah ufuk langit timur sebanyak 110 darjah dari titik zawal matahari tengahari.

       

      6). Waktu Dhuha

       

      Hukum: Syari’at Islam menentukan waktu Dhuha bermula dari matahari berada setinggi tombak sehingga menjelang waktu Zohor.

       

      Ilmu Falak: Ketinggian matahari ketika ini adalah 4 darjah 42 minit (4.7 darjah) dari kaki langit sebelah timur atau 85 darjah 18 minit (85.3 darjah) dari titik zawal tengahari.

       

       

       

      Rajah 1 Nilai Z bagi setiap waktu solat

    Your message has been successfully submitted and would be delivered to recipients shortly.