Loading ...
Sorry, an error occurred while loading the content.

Masyarakat Cina, Nanyang dan tanah air

Expand Messages
  • Sonia Randhawa
    This is a piece from Radiq Radio s (www.radiqradio.com) 13 Feb Chinese New Year special - you can listen to the feature on the site. Sonia Masyarakat Cina,
    Message 1 of 2 , Feb 13, 2002
    • 0 Attachment
      This is a piece from Radiq Radio's
      (www.radiqradio.com) 13 Feb Chinese New Year special -
      you can listen to the feature on the site.

      Sonia


      Masyarakat Cina, Nanyang dan tanah air - Sevan
      Doraisamy

      Hubungan masyarakat Cina yang berasal dari tanah besar
      Cina dengan masyarakat di Tanah Melayu telah terjalin
      sejak sebelum kesultanan Melayu Melaka lagi. Wartawan
      radiq radio, Sevan Doraisamy cuba mengimbas kembali
      sejarah kedatangan masyarakat Cina ke rantau ini
      bersama-sama Khoo Kay Kim, seorang sejarawan dari
      Universiti Malaya.

      Lawatan masyarakat Cina ke Tanah Melayu telah bermula
      seawal abad ke 13 lagi. Tujuan utama adalah untuk
      mengenali rantau ini. Khoo Kay Kim dari Jabatan
      Sejarah, Universiti Malaya menyatakan bahawa sejak
      dahulu lagi, rantau ini dipanggil dengan nama Nanyang
      oleh masyarakat Cina.

      “Orang Cina mula melawat rantau ini, yang mereka
      panggil “Nanyang” sejak sekurang-kurangnya abad yang
      ke 13, mungkin lebih awal sedikit. Tetapi lawatan yang
      lebih bertujuan mengenali rantau ini dengan lebih
      mendalam adalah pada zaman Laksamana Cheng Ho. Itu
      berlaku pada awal abad ke 15 dan waktu itu juga
      Kerajaan Melaka sudah ditubuhkan.”

      Kedatangan masyarakat Cina, walaupun pada awalnya
      tindakan untuk melawat dan mengenali rantau ini tidak
      direstui sepenuhnya oleh pemerintah di tanah Besar
      Cina.

      “Perkembangan di dalam Negara Cina sendiri
      kadang-kadang menggangu lawatan orang Cina ke rantau
      ini kerana dari semasa ke semasa kerajaan Cina sendiri
      tidak menggalakkan orang Cina keluar dari Cina. Jadi
      (selain itu), masa Portugis misalannya, oleh sebab
      orang Cina tidak begitu puas hati dengan cara
      Portugis menguruskan perdagangan di Melaka. Jadi pada
      pertengahan kedua abad ke 16, tidak ramai lagi orang
      Cina yang datang.”

      Portugis dikalahkan Belanda untuk menguasai Melaka
      pada tahun 1641. Pada masa itu, hanya sebilangan kecil
      sahaja masyarakat Cina di Melaka.

      Pada penghujung abad ke 17, sekali lagi masyarakat
      Cina mula datang ke Tanah Melayu. Peringkat masa ini
      adalah penting kerana inilah tahap sebenar kedatangan
      Masyarakat Cina keturunan baba dan nyonya di Melaka.
      Khoo juga menyatakan bahawa tumpuan masyarakat Cina
      pada peringkat awalnya adalah di negeri-negeri Timur,
      Semenanjung.

      “Pada abad ke 18, didapati orang Cina lebih banyak
      berkunjung ke Negeri Melayu Timur, di Kuala Kelantan,
      Kuala Terengganu dan di Kuala Pahang, ramai orang Cina
      berdagang di situ. Sehingga pada awal abad 19, hanya
      selepas Belanda keluar dari Melaka pada 1824, keadaan
      di Selat Melaka itu menjadi lebih lega kerana British
      sudah mula berkuasa dan menggalakkan perdagangan ”

      Beberapa perang saudara di Negeri-negeri Melayu Timur
      turut menyumbang kepada aliran tumpuan pedagang Cina
      ke Negeri-negeri Selat. Pada masa itu juga banyak
      lombong bijih timah mula dibuka dan pada peringkat ini
      ramai lagi masyarakat Cina mula mengunjungi tanah
      Melayu. Pihak British juga tidak mengambil sebarang
      langkah untuk menyekat kemasukan mereka. Menurut Khoo,
      British mula menyekat kemasukan orang-orang lelaki
      Cina mulai tahun 1930an.

      “Mulai 1930an, tak ramai lagi lelaki Cina yang datang
      tetapi wanita digalakkan datang ke sini kerana nisbah
      diantara lelaki wanita itu tidak baik. Selepas perang
      dunia kedua, saya rasa kedudukan orang Cina dari segi
      Imigresen sudah stabil. Sampai masa negara ini
      mencapai kemerdekaan, kita dapati orang Cina boleh
      dikatakan merupakan lebih kurang 40% jumlah penduduk
      negara ini tidak termasuk Singapura. Kalau termasuk
      Singapura itu, lebih tinggi sedikit.”

      Kebanyakan masyarakat Cina yang datang merupakan sama
      ada pedagang atau buruh. Walau bagaimanapun lebih
      kurang 80% merupakan kelas pekerja yang banyak
      tertumpu di lombong-lombong bijih timah.

      Tambah Khoo lagi, sebelum kemerdekaan, terdapat tiga
      kategori yang jelas dalam pembahagian sosial di
      kalangan masyarakat Cina.

      “Pertama dan yang paling rapat dengan Barat ialah
      orang Cina peranakan. Sebilangan besarnya ialah
      berpendidikan Inggeris. Merekalah yang digunakan oleh
      pentadbiran British dan juga digunakan oleh
      syarikat-syarikat Barat. Satu golongan lagi dan ini
      yang paling besar ialah pekerja, golongan pekerja.
      Golongan yang ketiga itu golongan yang berada, yang
      kaya-raya.”

      Perkembangan masyarakat Cina ini turut mengembangkan
      perjuangan politik mereka. Pada awalnya, Khoo
      menjelaskan politik mereka berasal dari Negara Cina
      sendiri.

      “Idea politik yang paling awal-awal tiba di sini itu
      memang politik Dr. Sun Yet San menentang kerajaan
      Manchu. Ini kemudian melahirkan Parti Nasionalis yang
      dipanggil “Kuomintang”. Sebelum fahaman komunis
      datang, sebenarnya lebih awal lagi sudah ada satu
      golongan yang berpegang pada ideologi Anarkis. Mereka
      sudah ada di sini masa tamatnya perang dunia pertama.
      Jadi, seperti di Negara Cina juga, Anarkis mendahului
      Komunis. Mereka aktif diantara tahun 1919 hingga 1925
      di negara ini. Tetapi, sebagaimana di Cina juga mereka
      mula merosot, maka di sini juga pengaruh mereka
      semakin pudar. Dan dalam pada itu, pengaruh Komunis
      semakin jelas ternampak.”

      Khoo turut menyatakan masyarakat Cina pada awalnya
      ingin kembali ke Cina tetapi lama kelamaan,
      kecenderungan ini berkurangan. Mereka mula menetap
      kekal di sini atas beberapa faktor.

      Secara umumnya, buat Khoo, situasi sewaktu mendapatkan
      kemerdekaan merupakan jangka waktu paling sukar bagi
      masyarakat Cina di sini. Mereka tergesa-gesa untuk
      bersetuju dalam beberapa perkara supaya British tidak
      melambatkan lagi kemerdekaan Tanah Melayu.

      __________________________________________________
      Do You Yahoo!?
      Everything you'll ever need on one web page
      from News and Sport to Email and Music Charts
      http://uk.my.yahoo.com
    Your message has been successfully submitted and would be delivered to recipients shortly.