Sejuta angkasa kosong, ditambah sesama mereka, maka jawapannya adalah kosong. Sejuta angka kosong dibandingkan dengan satu sangka satu, maka satu angka satu lebih bernilai kerana jawapannya 1.
Sebab itu, kita perlu perhatikan diri kita, apakah kita ini hanya angka-angka kosong dalam kehidupan manusia, atau sebenarnya kita ini satu angka yang ada nilainya dalam kehidupan ini?
Ramai manusia tidak menyedari ke mana dirinya dibawa.
Sebab musuh-musuh Islam memang akan berusaha, untuk kita ini sekadar menjadi angka-angka kosong sahaja.
Kualiti yang dihancurkan
Rasulullah SAW bersabda:
“Satu hari nanti, kamu akan dikerumuni musuh-musuh kamu, ibarat makanan dikerumuni semut.”
Sahabat-sahabat bertanya: ”Adakah bilangan kami sedikit ketika itu ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW menjawab: “Tidak, malah bilangan kamu sangat ramai. Tetapi ibarat buih di lautan”
Riwayat Abu Daud.
Buih di lautan. Banyak. Tetapi tiada makna. Dipukul ombak, hilang, hancur. Begitulah situasi sejuta angka kosong.
Kita melihat diri kita di tengah masyarakat. Apakah peranan kita terhadap masyarakat? Apakah peranan kita terhadap Islam yang membina masyarakat? Di sini kita boleh bermula untuk mencari apakah nilai diri kita.
Berkualiti kah?
Tiada manusia yang Allah ciptakan hina. Semua malaikat sujud kepada Nabi Adam AS selepas penciptaannya, menandakan Allah meletakkan manusia ini adalah sebaik-baik ciptaan. Malah Allah SWT sendiri mengakui dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya kami menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian” Surah At-Tin ayat 4.
Islam berjaya memacu potensi manusia pada tahap tertinggi sekali. Sebab itu kita mampu melihat manusia-manusia ‘bernilai’, permata-permata ‘berharga’ yang wujud di dalam sejarah manusia setelah menjadi graduasi daripada universiti Rasulullah SAW seperti Abu Bakr RA, Umar Al-Khattab RA, Uthman RA, Ali RA, Abdurrahman bin Auf RA, Sa’ad ibn Abi Waqqas RA, Usamah bin Zaid RA dan ramai lagi sahabat yang telah mengacu dunia ini dengan acuan Allah SWT.
Namun kualiti ini telah dihancurkan. Kerana manusia telah meninggalkan Islam sebagai cara hidup mereka.
Ibarat kakak tua, seperti keldai gayanya
Di dalam usul 20 yang disusun oleh Imam Hassan Al-Banna, yang pertama adalah faham. Bukan ikhlas, bukannya kesungguhan, bukannya lain-lain. Kenapa?
Kerana dari kefahaman sahajalah baru kita mendapat keihlasan yang sebenar, dan kesungguhan yang tiada taranya, serta perkara-perkara lain. Manusia yang tidak faham, antara dia tersesat atau dia tidak akan berbuat apa-apa.
Sebab itu, asas amal islami ada empat. Yang pertama dan keduanya adalah:
1. Mengikut apa yang syara’ tetapkan.
2. Ikhlas.
Kenapa bukan ikhlas yang pertama? Kerana kalau ikhlas tetapi jalan yang digunakan bukan jalan yang syara’ tetapkan, maka amal itu tetap tidak ke mana-mana. Contohnya, dia ikhlas mencuri, dia ikhlas berzina, dia ikhlas menyebarkan ajaran sesat, bukankah tidak ke mana-mana?
Sebab itu, hendak mengikut apa yang syara’ tetapkan itu, memerlukan kefahaman. Kefahaman kita terhadap nas dan dalil Al-Quran, kefahaman kita terhadap apa yang Rasulullah SAW bawa dan perjalanan dakwah baginda.
Kefahaman ini adalah kunci kualiti kita. Kefahaman inilah yang menentukan sama ada kita ini hanya angka kosong, atau angka yang ada nilainya.
Apalah bezanya orang yang melakukan pelbagai kerja tetapi tidak mempunyai kefahaman atas apa yang dikerjakannya dengan burung kakak tua yang mengucapkan pelbagai kata-kata yang diajarkan kepadanya tetapi dia tidak memahaminya?
Apalah bezanya orang yang belajar sampai PhD, ada Master, selesai ijazah, habis mengaji di Al-Azhar ke, Oxford ke, tetapi tidak memahami apa yang dia pelajari, hanya ada sijil sahaja tetapi tidak mendalami apa yang dia dapati, dengan keldai yang ditugaskan membawa seguni kitab di belakangnya tetapi dia tidak tahu apa-apa berkenaan kitab di belakangnya.
Keldai dan kakak tua itu, adalah perumpamaan kepada angka-angka kosong. Mereka berdua, tidak boleh berbuat apa-apa, kerana mereka melakukan kerja tanpa kefahaman. Membaca Al-Quran tanpa memahami isinya, apakah mungkin dia boleh mengunakan manfaat yang ada di dalam Al-Quran itu? Mereka berdua ini akhirnya sekadar menjadi hiasan, sekadar menjadi kuli untuk dipergunakan.
Berhenti menjadi kosong
Siapa yang menjadi kosong, dia hanya dipergunakan sahaja.
“Alah, tak apalah, aku sorang je kosong”
Ya. Saya tidak kisah kalau anda seorang sahaja yang jadi kosong. Tetapi, ada dua kemungkinan apabila anda berfikiran sedemikian.
1. Anda mengosongkan orang lain.
2. Ada orang lain berfikiran macam anda juga.
Kalau ada sejuta orang yang tidak bernilai, tidak mengungkit potensinya, tidak faham akan tujuan hidupnya, tidak mengambil Islam sebagai cara hidupnya, maka akan rosaklah masyarakat.
Anda boleh lihat keadaan sekeliling anda. Jujurnya saya katakan, kita sekarang dikelilingi angka-angka kosong. Nama dia Muhammad, tetapi dia tidak berperangai Islam pun. Dia ada Al-Quran, tetapi dia tidak memahaminya pun. Dia Islam, tetapi dia tidak tahu mengamalkannya pun.
Tahu kenapa umat Islam hari ini ditindas? Kerana mereka hanya angka-angka kosong sahaja.
Perasankah kita, betapa Israel itu amatlah kecil, dan Israel ini pula dikelilingi negara-negara arab yang lain seperti Mesir, Lubnan, Jordan, Syria? Ada orang berkata, andai semua orang arab meludah ke Israel, maka tenggelamlah Israel itu. Tetapi kenapa Palestin tetap tidak mampu dibebaskan?
Kerana kita hari ini kebanyakannya hanya angka-angka kosong sahaja.
Islam hanya pada nama, Al-Quran kita nampak sebagai tulisan mantera sahaja.
Tidakkah anda melihat bahawa menjadi kosong itu merosakkan?
Kita tidak dicipta untuk sekosong sehina ini. Kita diciptakan sebagai pentadbir bumi ini. Maka berhentilah menjadi kosong. Apa yang kita sedang lakukan sekarang ini?
Melihat Kualiti Usamah
Bandingkan diri kita dengan Usamah bin Zaid RA. Dia ketika umurnya 18 tahun, diangkat menjadi jeneral perang menentang rom oleh Rasulullah SAW. Dia, adalah contoh insan berkualiti. Umur muda, mampu menggegarkan Rom.
Namun tiada siapa berfikir sedikit panjang, kenapa dia dipilih Rasulullah SAW. Sudah pasti, kualitinya ketika itu setaraf dengan orang-orang besar di sekelilingnya. Tiada siapa hendak mengkaji bagaimana masa kecilnya, apakah berpower rangers seperti adik-adik dan anak-anak kita? Apakah habis masa dengan facebook macam kita?
Dengan apa dia diisi? Dengan apa dia dibina?
Jeneral perang bukan mudah. Perlu ada pemikiran yang kritikal, perlu ada keseimbangan dalam pemikiran, perlu pakar dalam strategi, perlu matang, perlu kekuatan jasad, perlu ketenangan jiwa, perlu pelbagai perkara. Dan Usamah ketika itu hanya 18 tahun sahaja. Menentang Rom pula.
Dan dia menang.
Saya ulang. Degan apa dia diisi? Dengan apa dia dibina? Sehingga dia menjadi angka-angka yang besar nilainya.
Itu baru Usamah. Bagaimana pula kalau kita lihat sahabat-sahabat Rasulullah SAW lain? Bagaimana pula kalau kita memandang kepada Umar ibn Abdul Aziz? Bagaimana pula kalau kita memandang imam-imam besar Islam seperti Imam As-Syafi’e? Memandang pula yang kontemporari seperti Imam Hassan Al-Banna, Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi.
Mereka, bagaimana mereka mengisi kehidupan mereka? Dengan apa kehidupan mereka dibina?
Penutup: Jadi yang bernilai
Kosong juga bernilai. Tapi nilainya kosong. Kalau anda pergi ke kedai, membeli barang, kemudian anda berkata: “Saya ada kosong ringgit.”
Saya yakin, anda akan diminta memulangkan kembali apa yang anda beli.
Begitulah kehidupan. Kita ini, kalau pulang kepada Allah SWT dalam keadaan kosong bagaimana agaknya? Lebih buruk lagi, kekosongan kita itu merupakan sebahagian saham kepada kerosakan ummah. Apakah yang akan terjadi pada kita?
Kita ada dua matlamat dalam kehidupan.
1. Redha Allah SWT.
2. Melihat Islam itu menjadi ikutan seluruh alam.
Dua matlamat ini, tidak akan tercapai oleh angka-angka kosong, buih-buih yang ditampar ombak kemudian hilang. Dua matlamat ini, hanya akan tercapai oleh mereka yang berjaya mengeluarkan potensinya dan menggunakan potensinya atas jalan ini. Hanya akan tercapai oleh mereka yang faham, yang ada nilai dalam kehidupan mereka, yang terisi peribadi dan hati mereka.
Maka, saya mengajak diri saya dan anda.
Mari kita mengisi dan membina hidup kita. Menjadikan diri kita bernilai.
Bernilai di sisi Allah SWT, dan bernilai untuk membawa diri dan masyarakat kita ke arah apa yang Allah redha.































































