01/12: Jelmaan Sikitol dan Mamak Mandaliar
http://www.malaysia-today.net
Posted by: raja petra
GUEST COLUMNISTS
KAMAL AMIR MENULIS
SEMASA kegemilangan kerajaan Melayu Melaka dahulu sebelum hadirnya armada
Peringgi menyerang dan menakluki seluruh empayar kesultanan Melaka, seluruh
dunia tertumpu kepada bumi jantung pisang ini.
Diriwayatkan oleh ahli sastera klasik Melayu, kerana kehebatan dan gahnya
seantero dunia ramai pedagang dari seluruh pelusuk dunia datang
berbondong-bondong untuk menikmati kehidupan bahagia.
Jalur pemerintahan kesultanan Melayu ketika itu termasuklah baginda Almarhun
Sultan Alauddin Riayat Shah tersohor oleh kecintaannya terhadap untung nasib
rakyat jelata. Malahan baginda akan turun diwaktu tengah malam untuk melihat
sendiri kehidupan rakyat serta memberkas penjenayah yang berkeliaran membuat
onar di bumi Melaka.
Kerana tersohornya kehebatan empayar Melayu Melaka,Maharja China turut
mengutuskan Puterinya bernama Hang Li Po untuk dikahwinkan dengan baginda
sebagai upaya memeterai tali persahabatan serta membolehkan pedagang dari tanah
besar China berniaga.
Malangnya, disaat kegemilangan dan kehebatan Melayu Melaka, timbul petaka yang
memerangkap seluruh anak bangsa, rakyat jelata menjadi hamba abdi penjajah,
kesan percaturan politik mamak mandaliar. Kerana tamak dan haloba merebut
sebahara emas dari bendahara raja, mamak mandaliar segera berpakat dengan si
kitol membocorkan rahsia pertahanan Melaka.
Gara-gara tamak haloba dan mahu memiliki kuasa sepenuhnya mamak mandaliar
mengarahkan agar si kitol berenang berjumpa dengan Alfonso De Albuquerque
pemerintah armada peringgi ditengah laut membocorkan rahsia hingga akhirnya
seluruh bumi Melayu terjajah lima ratus tahun lamanya.
Hari ini setelah genap lima puluh tahun merdeka, bumi bertuah kembali memiliki
mamak bendahara mandaliar yang rakus mengumpul harta berjuta untuk hidup
berpoya-poya. Dari sebuah kapal layar mewah kononnya hadiah saudagar judi
tersohor membawalah kepada pemilikan kapalterbang eksklusif bernilai ratusan
juta ringgit dibeli bagi melampiaskan nafsu-nafsinya.
Bendahara mandaliar terbukti meraih jutaan ringgit dari perniagaan jijik “oil
for food” yang meletakkan kepayahan hidup rakyat di bumi Iraq sebagai
kesempatannya menangguk di air keruh. Malahan ratusan juta ringgit dari kantung
negara turut diagihkan kepada warisan puteri Hang Li Po untuk menganjurkan pesta
perahu layar di Terengganu. Keseluruhannya adalah wang rakyat hasil dari royalti
minyak Petronas.
Seluruh pedagang datang berpesta, sementara rakyat sekadar merenung dari jauh
hebatnya orang-orang korperat bermain di gigi ombak monsun. Sepanjang musim
pesta tersebut ada acara jamu-jamuan tentunya turut disajikan arak kepada
pengunjung dari luar negeri sementara rakyat marhain sekadar pengangkat hidangan
dan pencuci gelas arak setelah disogok ke tembolok tetamu yang ghairah berpesta.
Wang rakyat dibazirkan oleh mamak bendahara mandaliar di saat banjir mula
mendekati rakyat di bumi Johor, Terengganu , Pahang dan Kelantan. Di seluruh
negara kehidupan rakyat semakin tertekan kesan kenaikan harga barangan tetapi
mamak bendahara mandaliar meneruskan pesta “mabuknya” di Kuala Terengganu.
Peristiwa Sultan Mahmud mengidamkan Puteri Gunung Ledang turut terjelma apabila
syarat membina Jambatan Emas dan Perak, hati kuman dan nyamuk tujuh tempayan
bersama takungan air mata rakyat serta air pinang muda (arak termahal) tujuh
tempayan. Cuma yang belum kesempatan lagi hanyalah semangkuk darah Raja Ahmad
sahaja lagi belum tersedia.
(Biarpun begitu himpunan BERSIH 100,000 marhain dan Hindraf, Ahad lalu sudahpun
memercikkan darah rakyat. Namun mamak bendahara mandaliar masih tetap melabunkan
mimpinya membina jambatan mas dan perak melalui Koridor Utara dan Pantai Timur).
Dalam keghairahannya mencari Puteri Gunung Ledang, mamak bendahara mandaliar
segera memasangkan topeng di muka si kitol agar tidak dikenali oleh rakyat
dengan merubah wajahrupanya kepada Hang Nadim untuk berpencak membuka langkah
pahlawan.
Malangnya setiap langkahnya tidak punya kekuda untuk dilihat satria. Lantaran
itu bertukarlah Hang Nadim menjadi Perwira Mat Lela Gila tanpa diketahui oleh
hamba rakyat sebenarnya dia adalah Si Kitol yang sedang rakus membolot serta
merampok harta rakyat dipunggah ke Pulau Temasik sambil membocorkan rahisa
ketahanan negara.
Jika kerajaan empayar Melayu Melaka boleh tumbang untuk diratah oleh armada
Peringgi kesan percaturan mamak bendahara Mandaliar dan si Kitol, kini
wajah-wajah yang serupa kembali berlegar di Seri Perdana. Pulau Temasik
tersenyum megah cengkamannya terhadap kemerdekaan negara semakin hampir menjadi
daerah takluk jajahannya.
Aroma kemerdekaan yang dihirup oleh seluruh warga cinta damai di bumi bertuah
semakin ternoda kesan percaturan mamak mandaliar dan Si Kitol. Saat ini kita
masih punya kesempatan menikmati sedikit saki baki peninggalan warisan nenek
moyang. Namun jika tidak segera dibendung dan dipertahankan, generasi akan
datang bakal dijerumuskan kelembah penjajahan untuk dilihat lebih hina dari
anjing liar.
Para penjilat telapak kaki penjajah legasi si Kitol masa kini ghairah membahagi
harta rampokan, sidang wazir mamak bendahara mandaliar juga lena dibuai
keasyikan untuk sama-sama diulit mimpi indah. Namun bayangan mimpi ngeri sudah
mulai membelit kehidupan hamba rakyat. Inilah fenomena realiti kehidupan masa
kini yang menyerupai hari-hari terakhir kerajaan Melayu Melaka.
Kepincangan demi kepincangan tercerna sejak hadirnya mamak bendahara mandaliar
di anjung kuasa. Mari kita renung seketika jejak si Kitol dan mamak bendahara
mandaliar :-
1. Mula terlibat dalam skandal ‘oil for food’ seawal menjawat jawatan Timbalan
Perdana Menteri.
2. Anaknya bernama Kamaluddin melalui syarikat Scomi terjebak dalam percaturan
membekalkan alat pengkayaan nuklear “ceturifuge” yang bakal meletakkan negara
menjadi sasaran serangan Amerika.
3. Ujudnya jelmaan kapitan Yap Ah Loy untuk membolot kekayaan negara bernama
Patrick Lim sepupu kepada isteri Kamaluddin (menantu Abdullah Ahmad Badawi)
4. Syarikat Scomi dianugerahkan pelbagai kontrak oleh syarikat Petronas untuk
kerja-kerja di luar Malaysia dan beberapa kontrak dalam negeri termasuk memiliki
kepentingan dalam syarikat pengangkutan Rapid KL.
5. Adik ipar Abdullah memperolehi kontrak beratus-ratus juta ringgit termasuk
penguasaan hotel Pan Pacific di Bangunan Umno.
6. Percaturan dalam syarikat ECM Libra melibatkan menantunya Perwira Mat Lela
Gila dan akhirnya menguasai kepentingan dalam CIMB Bank.
7. Pembangunan Zon Bebas Cukai Pelabuhan Kelang melibatakan berbilion wang
rakyat dirampok oleh kalangan orang keliling serta sidang wazir mamak bendahara
mandaliar.
8. Bumi Johor dikangkangkan untuk dilacurkan kepada Singapura melalui
pembangunan Wilayah Iskandar sehingga diujudkan satu undang-undang baru di mana
tidak siapapun boleh mendakwa penguasa pembangunan WPI di mana-mana
mahkamah.(Sila rujuk akta WPI yang dibangkitkan oleh Prowaris).
9. Sebuah pesawat baru dibeli dengan nilai tiga ratus juta ringgit untuk
kegunaan peribadi Perdana Menteri yang berselindung di sebalik pesawat rasmi
bagi agung dan ketua negara.
10. Kegiatan korupsi tidak mampu dibendung lagi di mana sebahagian besar
penguasa gagal membebaskan dirinya dari percaturan rasuah.
11. Perdana menteri sering dilihat bercakap bohong dan berbelit-belit memutarkan
kata-kata.
12. Sistem kehakiman semakin tercalar.
13. Amalan demokrasi kian terhakis apabila suruhanjaya pilihan raya dilihat
memihak untuk tidak lagi bersikap berkecuali melalui beberapa pendedahan
pengundi hantu dan sebagainya.
14. Birokrasi jabatan kerajaan semakin tenat.
Dan mari kita lihat pula kesuraman kehidupan rakyat jelata sejak mamak bendahara
mandaliar dan si Kitol diangkat sebagai pemimpin:-
1. Harga Petrol dinaikkan sebanyak tiga kali. Dan bakal dinaikkan lagi.
2. Kadar tol dilebuh raya terus mencanak tanpa mampu untuk dikawal lagi.
3. Bil bayaran telefon tidak lagi sekadar dua tiga puluh ringgit seperti 10
tahun lalu sebaliknya semakin menyesakkan.
4. Tariff elektrik naik dan akan naik lagi.
5. Harga barang makan utama seperti beras, tepung, gula dan lain-lain makanan
tidak lagi mampu dikawal harganya untuk terus naik dan naik lagi.
6. Kadar kemiskinan semakin mendadak di mana-mana.
7. Jenayah bagaikan tidak mampu di kawal lagi, setiap hari ada sahaja kes
rompakan dan penculikan untuk rakyat merasakan bagai tidak selamat lagi.
8. Pengangguran sudah mencapai tahap parah apabila dari bancian lebih 70,000
siswazah lepasan pusat pengajian tinggi terus menjadi penganggur terhormat.
9. Harga gas naik dan akan naik lagi.
10. Bonus kakitangan kerajaan lesap tanpa khabar berita.
11. Kenaikan kadar gaji kakitangan kerajaan gagal mengimbangi harga kenaikkan
barangan di pasaran sementara di sektor swasta keadaan menjadi semakin rencam
apabila tiada garis petunjuk arah berapa kadar untuk masyarakat sektor swasta.
12. Untuk mendapatkan rawatan perubatan sudah tidak lagi percuma sejak hospital
kerajaan diswastakan.
13. Belanja menguruskan jenazah juga turut naik dan tidak lagi percuma seperti
musim adanya khairat kematian.
14. Peminta sedekah berkeliaran di setiap tempat awam menjamu selera tanpa ada
kawalan dan usaha dari tabung zakat negara membela mereka.
15. Tambang bas naik, teksi naik, lrt mencanak mahal. Mungkin murah jika kita
semua berbasikal sahaja sebagai kenderaan.
16. Cukai pintu serta cukai tanah turut dinaikkan. Bayaran mesti dilunaskan jika
tidak mahu, kena penyapu!
Aduhai, sesak dan amat merungsingkan apabila memikirkan situasi sebegini.
Abdullah dan siding wazirnya masih belum dilihat mampu melangsaikan persoalan
yang merantai kehidupan rakyat. Untuk itu jalan terbaik baginya segeralah
berundur kerana sesungguhnya rakyat yang cinta damai amat membenci perlakuan
bendahara mandaliar dan si Kitol. Cukup sampai di sini Dollah. Semoga rakyat
segera menjeritkan ayat maha penting dalam setiap perbarisan tentera
“BARISSSSSSSS KELUARRRR!!!!!!”