Dengan takzim saya mengucapkan terima kasih kepada Pengarah DBP Cawangan Sabah kerana menyediakan satu kuota dalam program Pertukaran Penulis baru-baru ini untuk Warisan yang kali ini saya wakili. Saya sebenarnya pun membuat keputusan saat-saat akhir. Terima kasih dan tahniah kepada Sdr Nadin atas pengurusan perjalanan yang teratur. Bagi saya, memang program ini bermanfaat kepada para peserta. Biasanya kita akan menggunakan istilah "bertukar-tukar fikiran" sebagai matlamat atau manfaat yang diperoleh. Ia sebenarnya lebih daripada itu.
Satu hal yang baik dalam pemilihan peserta kita ialah gabungan "beliau-beliau" yakni Sdr Ramlie dan saya dengan yang muda-muda. Bukanlah kita orang berdua ini lebih berpengalaman dan berpengetahuan tetapi ada fakta-fakta yang dapat kami berikan semasa berinteraksi dan manfaatnya juga kepada sahabat-sahabat sekumpulan. (Selalu kita sebutkan peristiwa S.Mala ditahan di Kepayan kerana puisinya. Monosari juga pernah ditahan. Nantilah saya dapatkan cerita lanjut daripada keluarganya). Dalam tiga program bicarawara yang melibatkan penulis-penulis Sabah dan Sarawak di Johor Bahru dan Penang, serta ditambah dengan peserta tempatan semasa di Kuala Terengganu, Sabah "memasang" saya sendiri, Sdr Ramlie dan Jasni Matlani bergantian. Sarawak mengetengahkan Sdr.Saiee Driss di ketiga-tiga pertemuan. Saiee dalam gurau mukadimahnya menyebut tentang tiga bujang lapok di Sarawak, merujuk kepada dirinya sendiri, Sdr Zaini Oje dan seorang lagi. Ini satu peringatan kepada kita di sini agar jangan pula kita kelak tinggal hanya dengan Do Re Me!
Sebelum melangkah keluar Sandakan, saya sempat bertanya tentang pengisian program. Atas bayangan yang diberikan saya beranggapan akan ada sesuatu seumpama bengkel. Pada malam pertama, saya diberi tahu oleh Sdr Nadin yang saya akan bercakap tentang perkembangan sastera di Sabah esok harinya. Saya tidak banyak membuat persiapan kerana malam itu kami keluar untuk mendapatkan keperluan peribadi masing-masing. Pagi berikutnya baru terpapar tajuk Senario Kepengarangan Penulis Borneo. Memang tak larilah daripada sedikit persiapan yang saya buat itu. Saya menggunakan pendekatan bahawa apabila mengisahkan perkembangan persuratan, selain daripada penulis-penulis sendiri, maka tiga perkara wajar dibicarakan iaitu peranan Kerajaan Negeri, peranan DBP dan persatuan-persatuan penulis.
Antara lain saya menyentuh anugerah dan pertandingan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri. Ada juga saya sebut tentang kewujudan MBSS. Saya menyentuh proses perkembangan DBP di Sabah dan mengetengahkan tiga pecahan kecil iaitu Pembinaan Sastera (program kursus/bengkel dll), Sayembara dan Penerbitan. Untuk persatuan persuratan, tentulah akan menjadi zalim diri saya kalau tidak menyebut Badan Bahasa Sabah (Bahasa) dengan sejarah penubuhannya atas gabungan Perpesa-APMS.
Katakanlah yang benar walaupun pahit, maka saya menyebut tentang IPS sebagai persatuan yang teraktif dengan menyentuh kegiatan-kegiatannya (setelah merujuk juga kepada Ony). Saya sentuh juga tentang Kemsas sebagai halaman interaksi penulis melalui teknologi siber. Hampir terlupa persatuan sendiri, nasib baik tidak. Iyalah, sudah 20 lebih juga usianya, walau tak sehebat IPS... dan kita pun bermesyuarat agung setiap tahun dan dalam satu-satu tahun adalah empat lima acara.
Rombongan Sarawak turut membuat pameran kecil, lebih kepada memperkenal penulis-penulis yang ada dalam rombongan itu. Ada daripada kita yang bertanya kenapa Sabah tak buat serupa. Saya menyatakan bahawa inisiatif itu harus ada pada penulis sendiri. Ini satu penyedaran kepada kita bahawa kita sendiri perlu menonjolkan diri kita. Bukan bermaksud nak kata kita hebat, tapi itulah salah satu proses pengenalan diri yang wajar apabila keadaan memang mengizinkan. Janganlah pula sampai kelihatan mengada-ngada, kan? Apalah susahnya membuat biodata ringkas dan letak sekeping gambar 4R atau 5R (adakah?). Tak dipakai pun tak apalah, bukan berat sangat! Kasihan juga Sdr Nadin, sehari sebelum membawa rombongannya sudah pun berada di Johor Bahru menghadiri mesyuarat dan kembali lagi ke Sabah! Inilah kehebatan DBP! Mesyuarat.
Peserta yang ada buku karya sendiri, antologikah, novelkah, bawalah. Dalam empat daripada lima negeri yang dikunjungi, penulis-penulis mereka mengedarkan juga buku-buku mereka (kita beli maksudnya.) Saya hanya bawa Taufan senaskah untuk persiapan baca puisi. Saya tak sempat menyelesaikan senarai Ralat pada antologi tersebut. Memang banyak kesilapan pada buku itu, almaklum kita pada waktu itu mengejar masa. (Disebabkan itu saya belum mengedarkan naskah yang diberikan kepada saya.) Jangan bimbanglah soal mutu. Antologi yang sempat kami beli di sana tidaklah jauh hebatnya daripada yang ada pada kita di sini. Jasni dan saya ada berbincang akan hal ini.
Interaksi antara peserta dalam kumpulan kita juga memanfaatkan persaudaraan yang wujud hasil program ini. Apa tidaknya, kita hanya berpisah pada waktu tidur saja. Itu pun kalau berlainan bilik. Kalau berkumpul tiga empat orang..! Maka dalam perbualan dalam kelompok-kelompok kecil itu timbullah idea untuk satu skrip pementasan berjudul Arca, buah fikiran Jasni yang dikembangkan oleh yang lain-lain dan Awang Thomas mengesahkan sudah ada di fikirannya apa yang nak dipentaskan. Harap-harap dapatlah dipentaskan sempena Dialog Borneo! Jasni sempat menghasilkan cerpen Burung hasil perbualan kosong kami. Saya berjanji untuk menulis cerpen berkaitan ular. Sudah pun. Pertemuan seperti ini memang membakar semangat. Beza kita dengan remaja dalam AF tu, kita boleh berhubung dengan dunia luar. (Ada juga rakan-rakan barangkali ingin mencuba, maka telefon bimbit ditinggalkan.Saya tak mampu begitu. Maka seorang Pengerusi JKKK dari Sandakan menghubungi saya (sms) mengatakan tentu saya nostaljik dengan kisah puluhan tahun dulu. Saya minta penjelasan. Dia hanya membalas... Tiga Malam dan Semalam di Kuala Terengganu. Anda tahu ceritanya? Masa itu kami baru nak masuk bandar Kuala Terengganu.)
Memang banyak penulis yang dahulu didengari saja namanya telah dapat kita semuka. Di Penang ramai yang hadir, antaranya Prof. Muhammad Hj. Salleh. Saya telah biasa "bermanja" dengan beliau semasa Pengucapan Puisi Dunia dulu (sekali lagi terima kasih kpd Hjh Zaiton) maka malam itu saya lebih tertumpu kepada Sdr Azizi Abdullah yang tak asing lagi kepada kita. Dalam Sayembara Cerpen Hadiah Esso-Gapena, hampir setiap kali diadakan beliau mendapat tempat, seperti Marah Seorang Murid (91), Pelarian Yang Kedua (79) Wi (Hadiah Pertama, 1988), Sengat Sembilang, Kecundang Sang Petani, Seladang (Ketiga, 1981) Perasaan Seorang Ayah (1996). Menang Hadiah Sastera 1974. Beliau bertanya kepada saya kenapa tak tulis novel. Cuba mencari jawapan, tetapi lebih baik ikhlas dengan memberi jawapan yang sudah klise.... tak ada masa. Nah!......... Lecturelah beliau tentang masa.
Pengurusan masa. Ini hal penting juga dalam perjalanan sekumpulan begini. Jangan nanti kita menyebabkan orang lain ternanti-nanti. Secara menyeluruh pastinya "pengurus pasukan" berpuas hati.
Saya menyokong jika usaha ini diteruskan dan pemilihan peserta dibuat seperti komposisi kumpulan yang pertama ini. Saya mencadangkan kepada DBP agar Elwan dimasukkan dalam program yang akan datang. Begitu dulu ole-ole saya. Jika ada timbul lagi di benak, akan disusuli, Insyaallah.
1653, Rabu 20 April, 2005