"Tulislah kerana Tuhanmu, bukan kerana tuanmu."
Saya tidak berkelayakan melafazkan kalimat yang di atas itu! Namun itu suatu ayat yang memang pernah dilafazkan oleh mantan pemimpin tertinggi sebuah negeri yang berjiran dengan kita. Demikian yang dinyatakan kepada kami dalam beberapa majlis oleh Allahyarham Monosari. Beliau mendengarnya dalam satu majlis persuratan, tentunya bersama-sama rakan-rakannya yang lain. Cuma mungkin Monosari mengambil berat tentang pesanan ini dibandingkan dengan rakan-rakannya.
Ayat ini mudah diterjemah, apatah lagi bagi orang-orang Islam yang berpegang kepada prinsip utama dalam hidupnya iaitu "Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah, pemilik segala alam." Cuma dalam konteks ayat yang dinyatakan di atas, penekanan dibuat terhadap orang yang menulis kerana audiensnya itu penulis. Saya beranggapan bahawa peringatan itu timbul untuk memberikan penekanan kepada bahagian kedua ayat itu: bukan kerana tuanmu. Penulis jenis apa yang menulis kerana tuannya? Penulis upahan? Termasuklah, kerana yang memberikan upah tentunya yang sudah mencapai taraf "tuan."
Namun jika diperluas lagi maksud "tuan" itu, tentu ia bukan sahaja merujuk kepada seseorang manusia yang ada authority terhadap seseorang yang lain, tetapi apa juga yang menguasai dirinya. Pepatah Melayu sendiri pun ada menyebut beraja di mata, bersultan di hati. Secara tidak langsung orang kenamaan yang membuat seruan di atas itu menyeru penulis-penulis (yang hadir di majlis yang dimaksudkan) agar menulis perkara yang makruf... "kerana Tuhanmu".
Perkara seumpama ini sering juga dibincang dengan rujukan kepada ayat 224-225, Asysyuara yang bermaksud: Dan para penyair itu diikuti oleh orang-orang jahat; kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan yang baik dan mengingat Allah sebanyak-banyak dan mendapat kemenangan sesudah teraniaya. Dan orang-orang yang zalim itu nanti akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.
Kita juga tentu maklum bahawa segala yang kita lakukan akan menjadi ibadah dengan cara memenuhi beberapa syarat iaitu: hati yang ikhlas, yakni kerana Allah, natijahnya membawa kebaikan, cara pelaksanaannya memenuhi tuntutan syarak dan dalam melaksanakannya kita tidak meninggalkan perkara-perkara yang wajib dilaksanakan .(Saya teringat kisah saya singgah di sebuah surau di kawasan agak terpencil dan dimaklumkan oleh seorang tukang kayu yang sedang bertukang bahawa dia pengsan sebentar kerana terjatuh; dan katanya bahawa walaupun dia tidak sembahyang namun Tuhan tetap mengambil kira apa yang dialaminya (terjatuh) - maksudnya dia berpahala juga!). Atas dasar syarat-syarat itu, penulisan juga boleh menjadi ibadah. Bagaimana pula isu yang berkaitan dengan bayaran? Apakah terhapus keikhlasan kita dengan menuntut agar karya kita yang disiarkan itu dibayar?
Seperti yang dinyatakan dulu, isu hororarium ini telah dibincangkan sejak dulu lagi. Ada penulis 70-an yang mentakrif bayaran yang diperjuangkan itu hanya sebagai "ganti rugi". Iyalah, kita menulis itu memerlukan kertas, dakwat, api (kalau saya nescafe juga) selain fikiran yang tidak ada nilai harganya.
Apabila kita bercakap tentang keikhlasan, saya ingin menyentuh pengalaman saya bersama dua orang pendakwah (dalam kes berasingan) kerana golongan mereka inilah yang menjadi seri teladan dalam menonjolkan makna keikhlasan. (Mohon ampun maaf kepada penulis yang bergelar pendakwah - saya bersyukur kerana dua orang penulis/pendakwah yang saya kenali dengan begitu akrab telah memberikan teladan yang baik kepada diri saya dan saya sangat menyayangi mereka. Jauh di mata dekat di hati/hand phone). Yang nak saya utarakan ialah perihal pendakwah yang bergaji dan buat part time berceramah. Beberapa tahun yang lalu saya pernah mendengar seorang daripada mereka menuntut elaun ceramahnya daripada kakitangan RTM yang mungkin agak terlambat dibayar. Seorang lagi, setelah diberikan plak selepas mengadili satu pertandingan telah mencemuh penganjur kerana hanya "diberikan papan"!. Maksud saya mengutarakan kisah-kisah ini sekadar menyatakan bahawa tuntutan para penulis untuk mendapat bayaran daripada media yang menyiarkan karya mereka bukanlah luar biasa. Patutlah itu. Cuma dalam kes pendakwah pertama tadi, memang sudah dijanjikan bahawa bayaran untuk ceramahnya sekian-sekian ringgit, hanya pihak yang berkenaan agak terlambat menyediakan voucer, barangkali! (Sudah ada akadnya.) Yang seorang lagi itu mengharapkan "dibayar" tunai walaupun penganjur tidak menetapkan demikian.
Perbandingan cerita di atas belum habis! Dalam kes dua orang pendakwah itu memang mereka telah diundang untuk berceramah/menjadi pengadil. Dalam kes kita ini, adakah sesiapa yang mengundang kita untuk menulis di akhbar mereka?! Bagaimanalah setelah kita menuntut bayaran vigorously mereka bertanya, "Siapa suruh kau menulis?" (Mungkin tidaklah seextreme itu.) Lain halnya bagi penerbit media yang memang sudah menetapkan bahawa karya yang mereka siarkan dibayar, seperti DBP dan RTM; dan mereka ini memang mempunyai peranan dalam pembangunan kesusasteraan.
Menerima bayaran hasil daripada karya kita memang seronok, bukan saja pada peringkat saya bersekolah dulu. Walaupun saya punya 5 orang anak saja (dan isteri masih seorang), memang terasa juga bebannya. Walaupun honorarium itu boleh diistilahkan "duit angin", saya memanfaatkannya dengan sewajarnya. Ada saja yang saya beli yang bersifat kekal... buku, baju, seluar, tali leher, bateri hand phone. Taklah terasa bebannya benda-benda itu terhadap gaji. Pendek kata kebanyakan baju kerja saya hasil "wang angin" seperti bayaran menjadi ahli panel forum bahasa DBP baru-baru ini. (Satu lagi cek on the way, kata adinda Hjh. Asmiah.)
Saya berharap apa yang saya tulis ini tidak mempengaruhi pungutan suara yang dibuat oleh Kemsas. Sebenarnya saya secara kebetulan teringat ungkapan yang disampaikan oleh Monosari itu ketika Sdr Hasyuda memaklumkan (updating) saya mengenai hal-hal di Kemsas ketika saya outstation . Saya terjanji untuk menulis, inilah saya tunaikan. Saya tetap berpendapat bahawa menaruh harapan agar tulisan kita diberikan imbuhan wang ringgit itu tidak menjejaskan makna "tulislah kerana Tuhanmu" itu. Yang kita berkerja di jabatan kerajaan ini pun tak 'kan terjejas niat untuk menjadikan kerja-kerja kita itu sebagai ibadah semata-mata kerana kita dibayar gaji yang sebenarnya upah kepada khidmat yang diberikan. Cuma kita sendiri memikirkan bagaimana menterjemahkan makna "kerana Tuhanmu" dalam menjalankan tugas....... tak rasuah, tak mengampu, tak makan tulang, tak hidung tinggi dan sebagainya. Bagaimana kita mahu menulis tentang kebaikan atas dasar ajaran agama kalau perintah wajib pun kita tidak laksanakan.... agak-agaknya tulisan macam itu tertakrifkah "tulislah kerana Tuhanmu"?
Akhir sekali saya ingin mengongsikan sms yang saya terima daripada seorang sahabat penulis. Beliau selalu meng-sms saya sebelum atau selepas waktu subuh. Banyak panduan hidup yang saya peroleh dan memang saya hargai. Semasa saya di KK kira-kira sebulan dulu, semasa menanti masuk subuh saya di-sms dengan ingatan yang menyentuh hati saya. Saya jawab, "Bersahabat dengan sdr. seperti bersahabat dengan penjual minyak wangi. Saya terikut wangi". Dijawabnya pula, " Kasturi itu dari tuan"! Dan pada 23 Feb lalu, pukul 5:28:37 dismskan saya kata-kata ini: Buatlah sbnyk mana kebaikan kepada org lain, tpi jgan sekali kali merasa lebih baik dpd org lain. Salam subuh....... TAK AKAN PADAM KATA-KATA ITU DARIPADA HAND PHONE DAN INGATAN SAYA YANG MEMANG DAIF INI.... Terima kasih ji.
AHAD 6 FEB. 2005, 1.32 PTG