Maaf, saya lari dari kerancakan bicara tentang tsunami untuk meladeni nostalgia saya. Saya mengikuti
tulisan-tulisan elwan @ semut jingga dengan biasa-biasa saja sehingga yang berkaitan dengan saranan agar DBP menoleh-noleh juga ke Pantai Timur Sabah, khususnya Tawau. Saya respond kepada tulisannya itu dengan menyampaikan jaminan mantan Pengarah semasa berucap di satu majlis anjuran Warisan di Sandakan. Saya tidak tahu sebenarnya umur elwan, tetapi dengan selalu menggelar dirinya sebagai "adik", agaknya dia dalam peringkat remaja. Jika demikian, saya ragu jika elwan berpeluang menyoroti beberapa hal yang berkaitan dengan sastera di Tawau. Inilah yang nak saya bicarakan di sini sekadar mengemaskinikan pengetahuan elwan dan mungkin pembaca-pembaca yang lain mengenai daerah perbatasan ini.
"Melihat dari jauh" kelihatan kebelakangan ini memang Tawau seperti layu dalam konteks aktiviti sastera selain daripada kegiatan pementasan RUSTA. Lain halnya dalam tahun 60-an ke 80-an. Daerah Tawau sendiri telah melahirkan dan didatangi ramai penulis yang agak berwibawa. Yang terlintas di fikiran saya detik ini nama-nama (Hj.) Hussein Kasau, Herman Leiking, Jublee Ibrahim, Arfah Wahid, Y.Andamel, Muda Lesa, Mahpan, Misba Ab, Suriakanta, Amy M Nas dan dua beradik Samsiah dan Maimunah Bahrom. Banyak nama yang saya tidak ingati off hand walaupun wajah mereka masih dapat saya bayangkan. Menurut Linge melalui satu tulisan dulu, Perpesa Tawau, yang kemudiannya menjadi BAHASA pada awal 1970, dipengerusikan oleh Murni S. seorang penulis yang aktif dalam tahun 60-an, yang saya sangka di Semporna. Ketika puisi Menggugat Zaman nukilan Monosari dari Sandakan dipilih puisi terbaik Sabah, cerpen Hussin Kasau dari Tawau pula dipilih yang terbaik bagi kategori cerpen. Apabila Hadiah Sastera Sabah yang pertama diadakan, dan saya satu-satunya dari Sandakan penerima, Linge Abdullah dari Tawau juga menjadi penerima. Rasa-rasa saya ada penulis lain seperti Jublee turut menerima hadiah yang sama.
Saya ditukarkan ke Tawau dalam tahun 1974. Entah macam mana saya secara tidak langsung terlibat dalam satu kumpulan untuk menonjolkan (Datuk) Baharom Hj Abu Bakar Titingan sebagai Pengerusi BAHASA Tawau sebagai "alternatif" kepada incumbent Matin Datuk Hj Pandin (Mahpan). Bagaimanapun usaha itu gagal. Namun rakan-rakan Matin mencadangkan agar sebagai calon yang gagal, Baharom dipilih sebagai Naib Ketua secara otomatik. Begitu komprominya.( Kata-kata kita sekarang ini "rapatkan barisan"). Yang mengusulkannya itu Allahyarham Datuk Jafar Hj. Ampong yang masa itu staf saya di Lembaga Bandaran Tawau (Pengurus Dewan Masyarakat) dan pernah menjadi Yang Dipertua MUIS . Kemudian saya dan Mohd. Yakub Hj Nasroh (Amy M Nas) dicalonkan pula sebagai Setiausaha. Saya menolak kerana kami daripada "kumpulan" yang sama tapi penolakan itu tidak diterima. Turut dicalonkan Karim Abu Bakar (Muda Lesa), incumbent. Maka saya minta rakan-rakan dalam kumpulan kami sokong Yaakub. Kami terkejut apabila saya dan Yakub dapat undi yang sama! Saya berdiri untuk memberi laluan kepada Yakub, tetapi suara Yakub lebih lantang. Maka Yakub dipilih menjadi Penolong Setiausaha, saya Setiausaha. Keputusan pemilihan itu terjadi kerana Yakub dapat majoriti undi daripada kumpulan kami, sementara ada daripada kumpulan yang satu lagi turut memilih saya. (Sekadar nak bercerita begitu hebatnya berpersatuan masa dulu.)
Ada beberapa aktiviti yang sempat dilaksanakan oleh BAHASA Tawau dalam tempoh kami itu. Kami terbitkan antologi puisi secara stensilan, Gema Suara Perbatasan, mengambil sempena puisi saya dalam antologi itu. Kami juga mengadakan diskusi, salah satunya di Batu Payung. Aktiviti yang "ambitious" tetapi bermasalah besar ialah Kafeteria BAHASA. Ia hanya aktiviti penjualan makanan yang berbagai jenis dengan tujuan sebagai sumber kewangan. Beberapa AJK tidak bersetuju termasuk saya. Sebagai kompromi diadakanlah nyanyi-nyanyi dan baca-baca puisi untuk "menghalalkan cara"! Akibatnya beberapa orang daripada kami yang meminjamkan RM 50.00 untuk modal menjadi putih mata!
Beberapa orang AJK berpeluang menghadiri Perhimpunan Agung BAHASA Peringkat Negeri. Di perhimpunan itu Cawangan Tawau dan Cawangan Kota Kinabalu diumumkan sebagai cawangan terbaik 1974. Menghairankan juga bagaimana boleh 2 cawangan yang terpilih terbaik, sepatutnya yang terbaik hanya satu! Rupa-rupanya itu atas protes Matin yang telah menghidu lebih awal akan kemenangan Cawangan KK.Saya sempat bertemu dengan kawan-kawan daripada Sandakan. Saya dan Monosari berbincang secara bisik-bisik tentang keputusan itu. Kalau begitulah caranya, kenapa tidak 3 termasuk Sandakan! Sebenarnya kami berasa Sandakan lebih aktif kerana kami banyak mengadakan diskusi sastera. Peristiwa itulah yang melahirkan puisi Gagal (ms 52, Taufan) dan serentak dengan tersiarnya puisi Monosari (terlupa tajuk) dengan catatan "untuk Fajeer".
Hari ini kita yang dipisahkan putaran alam
kenallah jalan ke penilaian
marilah kita lalui agar esok
kejayaan walau di antara daerah kita
tidak mematikan segala rasa
biar menempuh seribu Susan
di segelap pagi mana. ( Petikan daripada Gagal, Harian Ekspress. 22 Mei, 1975)
Siapa Susan? Dia seorang perwakilan daripada BAHASA Cawangan Elopura. Di mana Elopura? Di Sandakan juga! Dalam satu daerah ada dua cawangan BAHASA! Politik, politik! Selepas acara malam, saya dipelawa untuk bersama-sama Datuk Baharom, Matin, Datuk Jamdin (Setiausaha Agung BAHASA), Kembara Muda dan Monosari jalan-jalan di pantai Tg. Aru. Sedang yang lain sibuk dengan Susan, saya dan Mono sibuk dengan keputusan pemilihan cawangan terbaik. Saya bertanya juga apakah Sandakan tidak dinilai. Datuk Jamdin menjelaskan memang sukar membuat pilihan.Ada yang salah faham tentang pemilihan, kata beliau; ada cawangan yang aktif dalam gotong-royong, tak fokus kepada perjuangan BAHASA, juga menuntut dia aktif. Tapi bagi Monosari dan saya, gotong-royong dan derma darah ni Sandakan pun tak main! Pada waktu itu saya pun novice betul, bersuara dalam hati sajalah. Ada yang menarik dalam perhimpunan itu. Semasa acara deklamasi puisi, Maimunah Bahrom, perwakilan Tawau, menyampaikan puisi mengenai Jose Rizal. Setengah jalan, dia sebak, lalu kakaknya Samsiah mengambil alih. Itu pengalaman pertama saya melihat pembaca puisi menangis, dan itu ditonjolkan di akhbar... Tawau!
BAHASA Tawau beku dan kemudian hancur terburai. Ia ada kaitan juga dengan peralihan tampuk kerajaan (1976). Sebahagian daripada ahli BAHASA merancangkan penubuhan sebuah persatuan yang tidak "beribu pejabat"! Perbincangan pertama adalah antara 4 orang pengasas, termasuk saya pada 19 Jun 1976.(Pada masa itu memang sedia wujud satu kumpulan bernama KUSNITA.) Sijil perakuan pendaftaran PESTA bertarikh 17 Januari, 1978. Sekitar waktu itu ada kumpulan-kumpulan lain yang juga terdaftar iaitu RUSTA dan ANGKASA. Sebelum PESTA terdaftar saya memasuki perkhidmatan swasta dan ditugaskan di Wallace Bay. Itu yang ada catatan Wallace Bay dan Sebatik pada beberapa so-called puisi dalam Taufan tu. Saya sempat menubuhkan kumpulan drama dari pulau Sebatik dan mendapat tempat kedua dari empat kumpulan yang bertanding. Mesyuarat Agung PESTA yang pertama diadakan pada 5 Mac, 1978. Di situlah (Datuk) Bahrom terpilih tanpa bertanding sebagai Ketua dan Kassim Kahar, pengerusi penaja, Ketua Dua. Saya dilantik sebagai Setiausaha dan Linge Abdullah (Suriakanta) Bendahari. (Saya ditukarkan ke ibu pejabat di Tawau. Macam tikus jatuh di dalam tong beras!) Dua pegawai tertinggi kerajaan masing-masing bersetuju menjadi Penaung dan Penasihat, iaitu mendiang Datuk Albert Watson (Residen Tawau) dan Allahyarham Tn. Hj. Syed Md. Abdillah (Pegawai Daerah Tawau). Pada masa itu GAPURA juga sudah membuka cawangan di Tawau.
Aktiviti PESTA sejak terdaftar dan sehingga September 1978 tertera di Majalah Pesta yang diterbitkan sempena Perhimpunan Seniman Tawau. Cuma PESTA ini tidak meliputi bidang sastera saja. Termasuk teater dan lukisan. Aktivitinya yang terbesar ialah Perhimpunan Seniman yang diadakan pada 30 September dan 1 Oktober, 1978. Aktiviti-aktivitinya meluputi pameran, seminar dan persembahan kebudayaan termasuk adat perkahwinan kaum Kokos. Ia dirasmikan oleh allahyarham Datuk Abdul Hamid Tun Hj Mustapha, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan waktu itu. Cara pengurusan persatuan ialah melalui Jkuasa Kecil. Saya mempengerusikan Jk Kecil Penerbitan. Kami menerbitkan Risalah Pesta secara stensilan yang berukuran setengah F4.
Tak lama di ibu pejabat, saya ditukarkan ke ke Luasong, perjalanan dari Tawau lebih 21/2 jam. (Sekarang mungkin lebih singkat.) Saya naik kem awal pagi Isnin dan turun ke bandar hari Sabtu petang. Dalam pada itu saya sempat menguruskan risalah stensilan saya itu, termasuk kerja menaip. Bahan daripada ahli-ahli disampaikan kepada seorang guru (sekarang di Labuan). Beliau pula menghantar ke pejabat syarikat di bandar dan dibawa ke kem bersama-sama mel biasa. Saya sunting dan taip pada stensil untuk dibawa turun hari Sabtu. PESTA waktu itu, kalau bahasa kita sekarang "glamour" juga. Dalam majalah terbitannya sempena Perhimpunan Seniman itu terdapat perutusan Pemangku Ketua Menteri Sabah, Datuk James Ongkili di samping Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Residen Tawau.
Saya berhenti dari perkhidmatan syarikat tersebut untuk memasuki semula perkhidmatan pbt dan balik ke Sandakan penghujung 1978. Dalam ketiadaan saya, PESTA masih aktif dan pernah mengadakan Perhimpunan Penulis dalam tahun 1981 atau 1982. Tak berapa ingat kalau ia meliputi Pantai Timur, tapi kami hantar rombongan yang besar daripada Warisan dan saya salah seorang pembentang kertas kerja. Saya tidak tahu bagaimana PESTA boleh "tutup kedai" tetapi yang nyata berpindahnya pemimpin-pemimpinnya ke tempat-tempat lain suatu hambatan. Untuk catatan, Herman Leiking dan Muda Lesa telah lama kembali ke rahmatullah. Linge pula diserang angin akhmar. Saya hanya mendengar berita.
Nah, Elwan. Begitu serba sedikit perkembangan aktiviti sastera di Tawau dulu. Diharapkan boleh membangkitkan semangat. Elwan punyaikah kawan-kawan penulis? Cawangan BAHASA adakah? Nak berkongsi projek dengan DBP pun kena ada yang menyelaras di Tawau. (Berpandai-pandai macam orang DBP pula saya!) Saya juga mengucapkan tahniah kepada RUSTA khususnya Sdr Hassan Sarpin yang aktif sehingga kini - lebih 25 tahun!
MAKLUMAN ELWAN: INSYAALLAH SAYA AKAN KE TAWAU MENGHADIRI MAJLIS PELANCARAN MAAL HIJRAH PERINGKAT NEGERI. PADA 9 DAN 10HB. BOLEH JUMPA. (KONTAK: 019 813 6999)